'Jangan simpan pesakit mental di rumah'

Iklan
Sebahagian individu yang berkelakuan di luar batasan manusia normal dengan bertindak menghina agama dipengaruhi masalah penyakit mental.(Gambar hiasan) - Foto 123rf (Gambar kecil: Dr Rozanizam)

KUALA NERUS - Sebahagian individu yang berkelakuan di luar batasan manusia normal dengan bertindak menghina agama dipengaruhi masalah penyakit mental.

Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkata, ia berdasarkan kes-kes yang dikendalikan dan menunjukkan perlakuan individu berkenaan mempunyai kaitan dengan penyakit mental.

Iklan
Iklan

Namun, katanya, tidak semua individu yang bertindak sebegitu tergolong dalam kalangan pesakit mental.

"Tidak dinafikan sebahagian individu yang melakukan perbuatan di luar tabii atau perilaku normal manusia mungkin mempunyai masalah kesihatan mental.

Iklan

Apabila seseorang itu ada masalah mental, ia boleh mempengaruhi cara berfikir, emosi dan tindakan.

"Misalnya, ada sesetengah penyakit mental menyebabkan individu itu percaya dia adalah Imam Mahadi atau nabi dan tuhan," katanya ketika ditemui selepas Seminar Psikologi Kesihatan (Psyche 1.0) 'Hentikan Buli', di sini pada Ahad.

Iklan

Jelas Dr Rozanizam, keluarga memainkan peranan untuk membawa pesakit berkenaan mendapatkan rawatan sekiranya mengesan perubahan sikap pada diri individu tersebut.

Menurutnya, adalah penting untuk ahli keluarga merujuk untuk membuat penilaian lanjut jika berlaku perubahan pada cara dan perilaku mereka sehingga percakapan dan pertuturan nampak di luar rasional.

"Pertama, berkemungkinan mereka alami isu kesihatan mental, kedua, mungkin terlibat penyalahgunaan dadah kerana ia juga boleh beri kesan kepada otak manusia dan menyebabkan berlaku tindakan-tindakan sedemikian.

Namun begitu, tidak semua individu yang melakukan perbuatan itu mengalami masalah mental.

"Apabila melakukan kesalahan dari sudut undang-undang, mereka perlu dirujuk dan dibawa untuk penilaian supaya kita tahu apa punca sebenarnya," ujar beliau.

"Kajian menunjukkan 70 peratus daripada pesakit mental di seluruh dunia tidak mendapat rawatan menyebabkan mereka berterusan hidup bersama penyakit dialami yang dikhuatiri turut membahayakan diri sendiri serta individu lain.

"Jadi, jangan 'simpan' pesakit mental di rumah.

Bawa mereka untuk dapatkan rawatan supaya boleh keluar daripada penyakit yang membelenggu," katanya.

Katanya, simptom yang ada pada diri pesakit itu adalah pelbagai.

"Pesakit seperti ini tergolong dalam halusinasi atau skizofrenia.

Ia mengacau rasional pesakit sehingga bertindak di luar kawalan.

Jika ada yang berlatar belakang agama, simptom yang dialami mungkin ada elemen tersebut.

"Jika lebih kepada elemen ganas, mereka akan bertindak sedemikian.

Kita tidak boleh pilih simptom yang bagaimana apabila terkena penyakit itu.

Apapun, penyakit ini boleh dirawat sama ada melalui terapi atau ubat," katanya.

Menurut Dr Rozanizam, antara kaedah bagi menangani masalah pesakit tidak mendapatkan rawatan ialah dengan meningkatkan pengetahuan masyarakat, akses dan menambah golongan profesional seperti pakar psikologi, psikiatri atau kanselor.

"Ramai tidak dapatkan rawatan kerana tidak tahu penyakit mental boleh dirawat.

"Walaupun tahu, ada stigma.

Mereka mungkin malu atau segan untuk ke hadapan.

Isu akses juga menjadi punca misalnya duduk di pedalaman, mungkin keluarga tiada kemampuan kewangan kerana rawatan pskiatri ini perlu berulang.

"Jika masalah ini tidak ditangani, bantuan akan terhad di hospital besar dan bandar-bandar sahaja sedangkan masalah mental tidak mengira tempat," katanya.