Proses beri dana Penjana Kerjaya akan diperketat

Iklan
Saravanan ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia sedang mengambil langkah memperketatkan proses pemberian dana insentif Program Penjana Kerjaya (PenjanaKerjaya) bagi mengelakkan isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana itu daripada berulang.

Menteri berkenaan, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya telah mengenal pasti kelemahan yang ada dan akan menambah baik peraturan pada masa ini bagi tujuan itu.

Iklan
Iklan

"Saya beri jaminan kami akan memperketatkan peraturan sedia ada supaya perkara ini tidak berulang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai langkah kementerian bagi memastikan faedah-faedah yang diterima menerusi pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) tidak diseleweng seperti yang berlaku pada dana insentif PenjanaKerjaya.

Iklan

Dalam pada itu, Saravanan berkata, terlalu awal untuk mengetahui jumlah sebenar tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya.

Beliau berkata, ini kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Iklan

Sebelum ini, dilaporkan tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif itu membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Terdahulu, Saravanan ketika membentangkan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 bagi bacaan kali kedua berkata ia bagi membolehkan peningkatan siling gaji untuk caruman dari RM4,000 kepada RM5,000.

Beliau berkata, peningkatan itu dapat menambah baik perlindungan keselamatan sosial Perkeso dengan meningkatkan faedah-faedah seperti Elaun Mencari Pekerjaan dan Elaun Bekerja Semula Awal.

"Pada masa ini, sekiranya seorang pekerja yang bergaji melebihi RM 4,000 layak menerima Elaun Mencari Pekerjaan di bawah Akta 800 selama enam bulan, pengiraan bayaran Elaun Mencari Pekerjaan bagi pekerja itu mengikut siling gaji yang sedia ada berjumlah RM10,665.

"Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan siling gaji yang baharu, pekerja akan menerima sejumlah RM13,365. Dalam hal ini, terdapat peningkatan sebanyak 25.3 peratus bagi siling gaji baharu berbanding siling gaji sedia ada,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 itu. - Bernama