55 penuntut Malaysia terima biasiswa MOE Taiwan

Iklan
Seramai 55 penuntut Malaysia hari ini menerima tajaan biasiswa oleh Kementerian Pendidikan Taiwan (MOE Taiwan) bagi tahun 2022. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seramai 55 penuntut Malaysia hari ini menerima tajaan biasiswa oleh Kementerian Pendidikan Taiwan (MOE Taiwan) bagi tahun 2022.

Daripada jumlah itu, 39 pelajar menerima Biasiswa MOE Taiwan untuk mengikuti program ijazah di Taiwan, dan 16 pelajar dianugerahkan Biasiswa Huayu Enrichment untuk mempelajari Bahasa Mandarin di universiti-universiti Taiwan.

Iklan
Iklan

Selain itu, tiga lagi pelajar mendapat tajaan Biasiswa Dana Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa Taiwan (ICDF), dan dua pelajar dari Kedah ditawarkan biasiswa oleh Universiti Nasional Cheng Kung.

Biasiswa itu disampaikan oleh Wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, Anne Hung.

Iklan

Bercakap pada majlis itu, Anne berkata, untuk menggalakkan pelajar Malaysia yang cemerlang melanjutkan pelajaran atau belajar bahasa Mandarin di Taiwan, MOE Taiwan telah menawarkan Biasiswa Taiwan dan Biasiswa Huayu Enrichment sejak 2004.

Menurut beliau, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan penuntut Malaysia yang belajar di Taiwan meningkat hampir dua kali ganda, berbanding 7,500 pelajar pada 2011 kepada sekitar 13,000 pelajar pada 2021.

Iklan

"Oleh itu, semakin ramai pemohon cemerlang bersaing untuk mendapatkan biasiswa ini. Kami juga berbesar hati kerana semakin ramai pelajar bukan Cina dari Malaysia menyedari bahawa Taiwan adalah destinasi ideal untuk mereka melanjutkan pelajaran. Misalnya, daripada 55 penerima biasiswa tahun ini, 15 daripadanya adalah pelajar Melayu," katanya.

Menurut Anne, penerima biasiswa yang menamatkan pengajian dari Taiwan berkembang maju dalam pelbagai bidang dan memainkan peranan penting untuk meningkatkan persefahaman dalam kalangan rakyat.

"Tambahan pula, peningkatan bilangan kursus pengajaran bahasa Inggeris yang diperkenalkan di universiti dan kolej di Taiwan dan usaha kerajaan dalam mewujudkan persekitaran yang mesra umat Islam, menyebabkan ramai pelajar antarabangsa tertarik untuk mengikuti kursus ijazah sepenuh masa atau pembelajaran bahasa Mandarin di Taiwan," katanya.

Anne seterusnya menyebut bahawa Taiwan adalah sebuah pulau yang berinovasi dan daya saingnya menunjukkan peningkatan pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila pulau itu muncul sebagai ekonomi paling berdaya saing ketujuh dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2022, yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) berpangkalan di Switzerland. - Bernama