SHAH ALAM - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengharapkan semua pihak dapat menyokong Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan di Parlimen.
Menurutnya, akta tersebut amat penting untuk dikuatkuasakan agar dapat melahirkan generasi yang hidup sihat tanpa amalan merokok.
Iklan
Iklan
"Minggu depan satu akta untuk mengharamkan rokok, vape dan semua alat merokok kepada golongan yang lahir selepas tahun 2007 akan dibentangkan di Parlimen.
"Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok menyasarkan untuk mewujudkan generasi yang bebas daripada sebarang amalan merokok termasuk rokok dan vape. Janganlah kita politikkan kesihatan, nyawa, dan keselamatan ummah.
"Berilah sokongan penuh anda kepada usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan akta untuk mengharamkan rokok, vape dan semua alat merokok kepada generasi yang lahir selepas 2007 ini bagi memastikan mereka dapat hidup sihat tanpa amalan merokok," katanya dalam laman Twitternya pada Isnin.
Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok sudah dipersetujui pemegang taruh utama, termasuk pengusaha vape walaupun sebelum ini kumpulan itu menolak industri itu dikawal selia secara sah.
Justeru, beliau berharap RUU itu akan mendapat sokongan penuh daripada semua ahli Parlimen ketika ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama minggu depan.