KATAK adalah haiwan vertebrata dan termasuk dalam kumpulan amfibia.
Spesies katak terkecil di dunia ialah Paedophryne amauensis yang rata-rata berukuran 7.7 milimeter (mm). Ia banyak ditemui di timur Papua New Guinea.
Sementara katak paling beracun di dunia boleh ditemui di Brazil. Dendrobates tinctorius azureus atau katak panah beracun biru, ia sangat comel tapi awas, bisanya mampu membunuh manusia dewasa.
Di Eropah, populasi katak dikatakan semakin terancam dek kerana selera eksotik orang putih yang gemar meratah kaki haiwan tersebut.
Di Malaysia pula, terdapat lebih 254 spesies katak. Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, katak lebih sinonim dikaitkan dengan orang politik dek kerana perbuatan segelintir mereka melompat parti.
Bagi Merak Jalanan, gelaran itu satu penghinaan kepada spesies katak. Katak memang kerjanya melompat.
Apa pun, menurut statistik sehingga akhir Mac lalu, seramai 39 ahli Parlimen bertukar parti sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tindakan melompat parti mengakibatkan negara berhadapan dengan isu ketidakstabilan politik sehingga menyaksikan penyandang Perdana Menteri bertukar sebanyak tiga kali.
Tindakan lompat parti kononnya sebahagian daripada kelebihan amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini. Sebaliknya, ia menghancurkan amanah dimandatkan kepada pengundi dalam PRU lalu.
Justeru, Merak Jalanan tidak sabar mendengar pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti pada Rabu dan Khamis ini di Dewan Rakyat jika tiada sebarang halangan.
Pendekatan bagi RUU terbabit juga berbeza berbanding undang-undang sedia ada, berikutan ia dihasilkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dan dicetak oleh pihak Parlimen, serta bukan dibuat dari kamar Jabatan Peguam Negara.
Diharap selepas RUU itu diluluskan, ia mampu menjadi penawar mujarab kepada politikus yang 'disumpah' menjadi katak.