Ribuan penduduk California diarah berpindah

Iklan
Anggota bomba bertungkus lumus memadam kebakaran hutan oak di California yang tercetus sejak Jumaat lalu.

SACRAMENTO - Kebakaran hutan California merebak dengan pantas, membakar beberapa ribu ekar kawasan hutan dan memaksa pemindahan beribu-ribu rakyat di bahagian barat Amerika Syarikat (AS).

Lebih 2,000 anggota bomba yang disokong 17 helikopter dikerahkan untuk menangani kebakaran hutan oak yang tercetus pada Jumaat lalu berhampiran Taman Negara Yosemite, kata Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CAL FIRE) dalam satu laporan.

Iklan
Iklan

Tetapi dua hari selepas kebakaran berlaku, api telah memusnahkan lebih daripada 14,200 ekar (5,750 hektar) dan kekal sifar peratus terkawal.

Malah, gelombang haba ditambah dengan kelembapan rendah menyukarkan lagi usaha memadam kebakaran.

Iklan
Kenderaan penduduk antara yang musnah dalam kebakaran hutan oak di California yang memaksa ribuan penduduk berpindah.

"Keadaan kemarau yang melampau telah membawa kepada tahap kelembapan bahan api yang kritikal,” menurut laporan CAL FIRE.

Disifatkan sebagai 'bahan letupan' oleh pegawai, kebakaran itu telah meninggalkan abu, memusnahkan harta benda ketika kakitangan kecemasan bertungkus lumus memindahkan penduduk ke kawasan selamat.

Iklan

"Lebih 6,000 orang telah dipindahkan,” kata seorang pegawai CAL FIRE, Hector Vasquez.

"Memang menakutkan apabila kami pergi kerana kami dilitupi abu. Api kelihatan seperti berada di atas rumah kami dan ia merebak dengan cepat,” seorang wanita yang terpaksa dipindahkan, Lynda Reynolds-Brown, memberitahu stesen berita tempatan KCRA.

"Kami mula mengumpulkan barang-barang kami dan ketika itulah saya naik semula ke atas bukit dan melihat dan saya seperti, ‘Ya Tuhanku.’ Ia merebak dengan pantas,” suaminya, Aubrey Brown memberitahu stesen itu.

Sebuah helikopter pengebom air digunakan untuk memadam kebakaran hutan di California.

Gabenor California Gavin Newsom pada Sabtu mengisytiharkan darurat di Mariposa County, menyatakan keadaan bahaya yang melampau terhadap keselamatan orang dan harta benda.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, California dan bahagian lain di barat AS telah musnah akibat kebakaran hutan yang besar dan pantas, didorong oleh kemarau bertahun-tahun dan iklim yang semakin panas.

Krisis itu mendorong bekas Naib Presiden Al Gore mengeluarkan amaran keras mengenai tidak bertindak oleh penggubal undang-undang AS. - AFP