PASIR GUDANG - Suasana hiba menyelubungi sekitar pengkebumian Allahyarham Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain pada awal pagi Selasa, selepas rangka mayatnya ditemukan dalam kenderaan di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, pada Sabtu.
Jenazah Allahyarham tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih di sini pada jam 12.25 tengah malam Isnin dari Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Kuantan.
Hampir 100 ahli keluarga, saudara, rakan, kenalan dan penduduk hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disemadikan pada jam 1 pagi Selasa sebelum hujan selama kira-kira 20 minit.
Jenazah sebelum itu dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan kemudian dibawa ke masjid berkenaan pada jam 2.30 petang untuk dimandikan.
Seterusnya jenazah dikafan dan disembahyangkan di masjid yang sama sebelum dibawa pulang ke sini untuk dikebumikan.
Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar, 25, pernah tular dalam media sosial pada tahun lalu selepas Adik Allahyarham, Nurul Izz Anisah, 21, meminta bantuan orang ramai berkenaan kehilangan abangnya itu.
Lelaki itu bergerak dari Pasir Gudang pada jam 1.30 pagi, 29 Oktober tahun lalu ke Terengganu dengan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Bagaimanapun, dia selepas itu gagal dihubungi keluarga, majikan dan tunangnya, Nurfaizah Mahadi, 29 tahun.
Pada Sabtu, polis dilaporkan menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api sebelum dikenal pasti sebagai Allahyarham yang hilang sejak hampir 10 bulan lalu.