SABAH FC perlu melupakan segera episod penyingkiran dari suku akhir Piala FA kepada Selangor FC, dengan bangkit melakar keputusan positif apabila bertandang menentang PJ City FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Selasa.
Itu gesaan tonggak The Rhinos, Saddil Ramdani kepada para pemain kelab yang berada di kedudukan kedua di belakang pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) tersebut selepas tewas 0-2 kepada skuad asuhan Michael Feichtenbeiner di Likas, pada Sabtu lalu.
"Sewajarnya kita melupakan kekalahan kepada Selangor FC dalam saingan suku akhir Piala FA di Likas dengan bangkit mencatat keputusan positif di Petaling Jaya.
"Ya, sememangnya semua pemain kecewa apabila tersingkir dari saingan Piala FA, namun saya percaya kita dapat mengambil pengajaran daripada kekalahan tersebut.
"Perjalanan Sabah dalam saingan Liga Malaysia masih panjang, dan kita harus kembali bangkit tidak hanya demi pasukan ini tetapi juga para penyokong pasukan Sabah FC,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Untuk rekod, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kini yang mengumpul 25 mata mengekori rapat JDT kendalian Benjamin Mora yang memimpin liga dengan 29 mata, namun kelab selatan tanah air itu kurang satu perlawanan.
Pada masa sama pemain import The Rhinos berusia 23 tahun dari Indonesia itu yang masih dalam proses pemulihan kecederaan percaya para pemain diberikan tanggungjawab menggalas misi di Petaling Jaya mampu melaksanakan tugasan diberikan Kim Swee.
"Ya, terdapat beberapa pemain Sabah yang mengalami kecederaan pada ketika ini termasuk yang masih dalam proses pemulihan.
"Namun saya percaya rakan-rakan lain mampu memberikan aksi terbaik masing-masing mengikut perancangan taktikal diberikan coach Kim Swee.
"Sabah memiliki para pemain simpanan berkualiti yang mampu menggalas tanggungjawab dan ini merupakan masa terbaik untuk membalas kepercayaan diberikan coach Kim Swee,” ujarnya.
Selain Saddil, Sabah FC terpaksa melupakan khidmat beberapa pemain utama seperti Jackson de Souza, Dominic Tan, Rizal Ghazali yang masih mengalami kecederaan.
Saddil juga mengingatkan para pemain Sabah supaya tidak memandang rendah keupayaan PJ City kendalian P Maniam tersebut.
Malah jelasnya, The Phoenix tetap mampu memberikan ancaman kepada The Rhinos biarpun lawan dibarisi para pemain tempatan.
"Sejujurnya semua pasukan dalam saingan Liga Super merupakan lawan yang berkualiti biarpun berada di kedudukan tercorot.
"Kita tidak boleh memandang mudah keupayaan pasukan lawan kerana persembahan setiap pasukan akan berubah dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Begitu juga dengan PJ City yang saya percaya juga cukup berkualiti dan persembahan taktikal berubah-ubah dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” ujarnya.