PENGENDALI Paris Saint-Germain, Christophe Galtier berazam untuk terus mengekalkan DNA skuad kendaliannya itu bagi mengharungi musim baharu Ligue 1 yang dijadualkan bermula 6 Ogos ini.
Menurut Galtier, pengekalan DNA berkenaan dilihat penting bagi memastikan skuad Les Parisiens yang terkenal dengan gaya permainan tersendiri itu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini.
"Walaupun masa untuk mempersiapkan kali ini agak singkat, namun kami tetap berazam untuk memberikan aksi terbaik dengan meningkatkan tahap keupayaan pasukan terutamanya dari segi fizikal.
"Kini, kami hanya memiliki baki selama seminggu sebelum menentang Nantes bagi Champions Trophy dan ketika ini kami masih bekerja keras bagi mengekalkan rentak dan intesiti menjelang perlawanan berkenaan.
"Apa pun, secara keseluruhannya, saya berharap kesebelasan pemain dapat mengekalkan kesinambungan DNA pasukan ini iaitu berani berdepan risiko, bermain secara menyerang dan menjaringkan lebih banyak gol bagi menjamin kejayaan,’ katanya.
Untuk rekod, Galtier mengambil alih tanggungjawab bagi mengendalikan PSG setelah Mauricio Pochettino dipecat 16 Jun lalu.
Pochettino sebelum ini mengendalikan PSG selama 18 bulan dan membantu kelab berkenaan menjuarai Liga Perancis musim ini.
Bagaimanapun, kekalahan PSG kepada Real Madrid di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara dikatakan menjadi faktor utama kepada pemecatan Pochettino.
Sementara itu, Glatier masih belum berpuas hati di sebalik kemenangan 6-2 ke atas kelab Jepun, Gamba Osaka, pada aksi pra-musim Isnin lalu.
Katanya, asakan yang dilancarkan skuad kendaliannya itu masih kelihatan tidak tersusun dan perlu diperkemaskan menjelang aksi berdepan Nantes minggu depan.
"Banyak perkara yang perlu diperbaiki kali ini, dan saya mahu memastikan jentera serangan kami lebih berbisa apabila berdepan Nantes,” katanya.