KOTA BHARU - Pengerusi PH Kelantan, Senator Datuk Husam Musa dilantik sebagai Pengerusi Baru Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bermula 1 Mac 2019 lalu.
Pengumuman tersebut dibuat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam satu majlis di Auditorium Tan Sri Mohammed Yaacob, di Pejabat Kada, di sini.
Husam menggantikan ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang menjawat jawatan tersebut sewaktu BN mentadbir negara sebelum ini.
Salahuddin dalam satu sidang media di sini memberitahu, pelantikan ini adalah bersesuaian dengan Husam sebagai anak jati Kelantan yang mempunyai pengalaman sebagai Exco kerajaan negeri untuk memandu KADA ke arah yang lebih baik selepas ini.
"Saya harap dengan pelantikan ini menjadikan KADA lebih ke hadapan dan dapat memainkan peranan yang telah kita tentukan dalam hala tuju memodenkan semua sektor dalam bidang pertanian. Itulah yang saya harapkan dan mudah-mudahan akan dapat beri sinar baru kepada urus tadbir KADA masa akan datang,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dan kakitangan agensi tersebut.
Menurutnya, pelantikan itu untuk tempoh dua tahun dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menghentikan perkhidmatan Husam jika tidak mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan baik.
Ketika ditanya spekulasi mengenai pelantikan tersebut, Salahuddin memberitahu, tiada isu berbangkit mengenai perkara itu memandangkan dua akta iaitu KADA dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memang memerlukan perkenan daripada Yang di Pertuan Agong.
"Lain-lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan sebagainya tidak perlu, tapi dua akta ini saja yang perlu.
"Prosesnya ambil masa sikit, tapi kita juga sudah cuba yang terbaik dan kemukakan calon yang terbaik, terpulang kepada beliau (Husam) untuk pimpin KADA," katanya.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai bantuan untuk pesawah pada musim kemarau, Salehuddin berkata, pelbagai inisiatif dan langkah proaktif telah dilakukan, termasuklah melakukan pembenihan awan.
"Minggu ini kita akan tengok kesesuaian awan untuk dibuat pembenihan memandangkan minggu lepas kebanyakan kapal terbang berada di Langkawi, llangkah seterusnya Husam akan panggil mesyuarat untuk buat tindakan lebih pantas dan efisien dalam isu ini,” katanya.
Untuk rekod, seluas 7,440 hektar kawasan padi melibatkan 2,500 pesawah dilaporkan terjejas di Kelantan dan jumlah tersebut adalah hampir 1/3 daripada jumlah keseluruhan 24,000 hektar kawasan padi di negeri ini.