PEMAIN tengah Barcelona, Frenkie de Jong dinasihatkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Barcelona sekiranya isu berhubung tunggakan gajinya benar-benar berlaku.
Menurut bekas pemain pertahanan Manchester United, Gary Neville, isu tunggakan gaji itu secara tidak langsung menyebabkan urusan perpindahan pemain berkenaan ke Old Trafford tergendala.
"De Jong seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Barca (Barcelona) dan semua pemain seharusnya berada di belakang dan menyokongnya.
"Tindakan mana-mana kelab yang memburu pemain baharu tetapi dalam masa sama tidak melunaskan tunggakan gaji pemain jelas telah melanggar batas dan satu perbuatan yang tidak bermoral.
"Perkara ini seharusnya dihentikan mulai saat ini dan seterusnya memastikan ia tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.
Untuk rekod, Barcelona difahamkan merancang untuk melepas De Jong dalam usaha menyelamatkan ‘kantung’ kelab berkenaan yang berdepan masalah kewangan.
Malah De Jong juga dikatakan bersetuju dengan pemotongan gaji sebanyak 50 peratus untuk terus kekal di Nou Camp ketika pandemik Covid melanda dunia pada tahun 2020 lalu.
Bagaimanapun sehingga kini, Barcelona dikatakan masih berhutang dengan De Jong namun telah menandatangani beberapa pemain seperti Franck Kessie, Andreas Christensen, Raphinha, Robert Lewandowski, Ousmane Dembele dan dalam usaha membawa masuk Jules Kounde dari Sevilla.
Sementara itu Neville turut menggalakkan campur tangan pihak Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (Fifpro),dalam isu berkenaan.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk Fifpro campur tangan dalam isu ini kerana ia telah berlarutan agak lama,” katanya.