OKU dipukul, dipijak penghuni pusat jagaan meninggal dunia

Iklan
PDRM

ALOR SETAR – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tidak sedarkan diri sejak 10 hari lepas selepas dipukul dan dipijak dua penghuni lain di sebuah pusat penjagaan mental di Sungai Petani, dekat sini, meninggal dunia pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, dekat sini, kira-kira jam 4.02 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau memaklumkan, kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) sebelum ini akan dipinda ke Seksyen 302 KK kerana membunuh berikutan kematian mangsa.

"Sebelum ini, mangsa menerima rawatan di zon merah HSAH pada 17 Julai lepas selepas tidak sedarkan diri akibat dibelasah dua penghuni sebuah pusat penjagaan.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati dua penghuni berusia 21 dan 33 tahun terhadap mangsa yang memijak mereka ketika sedang tidur di lantai bilik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zaidy berkata, pengurus pusat jagaan terbabit memaklumkan mereka ada menerima maklumat bahawa kaki mangsa lebam akibat dipijak dua penghuni pada 11 Julai lepas.

Iklan

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bakar Arang, Sungai Petani, dekat sini, pada keesokan harinya.

"Bagaimanapun, mangsa didapati dalam keadaan tidak bermaya di tempat tidurnya semasa dipanggil untuk makan lebih kurang jam 12.40 tengah hari pada 17 Julai sebelum dibawa ke HSAH untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya.

Tambah beliau, doktor pakar yang merawat mangsa memaklumkan dia dalam keadaan kritikal dan bergantung kepada ubat-ubatan dan bantuan pernafasan.

Menurutnya, terdapat kesan lebam dari bawah pinggang hingga bahagian betis dan tulang tepi tapak kaki sebelah kanan juga didapati patah.

"Kemungkinan berlaku kecederaan dalaman di bahagian perut mangsa dan dia seterusnya menerima rawatan dan dipantau pakar di zon merah HSAH,” katanya.

Zaidy berkata, hasil temu bual awal terhadap kedua-dua suspek, mereka mendakwa telah memukul lelaki itu disebabkan mangsa telah mengganggu dengan memijak mereka yang sedang tidur di lantai bilik.

Katanya, siasatan mendapati pusat jagaan terbabit telah beroperasi sejak 2009 dan memiliki tiga bilik yang menempatkan pesakit mental yang dihantar keluarga.

"Terdapat seramai 57 pesakit mental termasuklah mangsa yang menghuni pusat jagaan tersebut sejak lebih kurang 10 tahun,” katanya.

Susulan itu, beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk bedah siasat.