KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) memaklumkan, durian musang king dikenal pasti sebagai spesis pokok yang bukan untuk ditanam sebagai ladang hutan di Gunung Inas, Baling, Kedah.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mendapati projek penanaman durian musang king di Gunung Inas melanggar syarat penanaman ladang hutan.
Iklan
Iklan
"Terdapat 11 spesis lain (antaranya) akasia, batai, getah klon, balak, jati. Pokok durian hibrid (musang king) tidak termasuk sebagai spesis ladang hutan tetapi ia dilaksanakan di negeri Kedah seawal pada 2017.
"Pada 2019, kerajaan negeri pada masa itu telah meluluskan penanaman durian musang king sebanyak 20 peratus daripada keluasan yang masih dibenarkan,” katanya sewaktu sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu mengenai kaedah penyelesaian dirancang bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin, khususnya penduduk di sekitar Gunung Inas susulan bencana kepala air baru-baru ini.
Tambah Takiyuddin, pada tahun 2020, JPNK melalui Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mengarahkan pemberhentian segera aktiviti penanaman durian musang king itu.
Menurutnya, JPNK telah mencadangkan kerajaan negeri Kedah menjadikan Gunung Inas sebagai hutan perlindungan serta bagi tujuan tadahan air.