KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menjelaskan perkataan ‘P’ seperti yang didakwa diperkatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak ada di dalam penyata rasmi (hansard) Parlimen.
Rashid berkata, pihaknya mencari perkataan yang diperkatakan itu tetapi tidak ada dan turut merujuk isu itu kepada penasihat undang-undang.
Katanya, disebabkan itu pihaknya telah memerintahkan Tajuddin agar tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari.
"Keputusan saya ialah Pasir Salak automatik dapat dua hari termasuk hari kejadian,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tidak puas hati dengan itu, Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) bangun menyatakan dirinya tidak berpuas hati dengan keputusan itu.
"Speaker tidak mengusir Pasir Salak, kamu mengelirukan dewan dengan mengatakan telah mengusir Pasir Salak, beliau tidak dihalau keluar, Kota Belud yang dihalau keluar," katanya.
Kasthuri menjelaskan bahawa kata-kata kesat itu sememangnya tidak ada dalam handsard kerana mikrofon di meja Tajuddin ditutup.
"Saya dengan sembilan ahli Parlimen dengar kata-kata itu, kerana mikrofon ditutup ketika itu," kata Kasturi.
Berang dengan desakan Kasturi, Rashid dengan nada tegas mengarahkan Kasthuri duduk namun tidak diikuti olehnya.
"Saya telah buat keputusan, kamu faham tak? Saya dengan ini memerintahkan Batu Kawan (Kasthuri) keluar Dewan," tegas Rashid.