KONTINJEN negara meraih emas pertama di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand menerusi sukan renang setelah perenang negara, Low Zheng Yong mengungguli acara 400 meter gaya bebas lelaki.
Pada aksi yang berlangsung di kampus Ban Yang Noi, Zheng Yong merakamkan catatan masa 3 minit 59.57 saat menewaskan atlet Indonesia, Subagyo Nicholas Karel yang menamatkan saingan di tempat kedua
Iklan
Iklan
Lebih manis, apabila seorang lagi atlet negara, Welson Sim turut berada di kedudukan podium setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 4 minit 7.29 saat.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia berjaya mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2018 yang berlangsung di Myanmar.
Bagi kategori wanita pula, hasrat perenang negara untuk menghadiahkan pingat emas kedua negara tidak kesampaian, apabila Goh Chia Tong sekadar menamatkan saingan di kedudukan kedua bagi acara 400 meter gaya bebas.
Pada aksi tersebut Chia Tong menamatkan saingan dengan catatan masa 4 minit 28.51 saat di belakang atlet Singapura, Zi Yi Chan yang mengungguli acara itu dengan minit 27.58 saat.
Gangsa acara itu dimenangi atlet Indonesia, Farmadini Prada Hanan dengan catatan masa 4 minit 28.68 saat