BARU-BARU ini tular di media sosial perkongsian seorang gadis yang bekerja di sebuah restoran makanan segera sedangkan dia memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang kimia.
Perkongsian gadis dikenali sebagai Ain itu mendapat perhatian warganet yang bimbang dengan situasi graduan di negara ini kerana terpaksa bekerja dalam bidang tidak sepadan dengan kelayakan dan tidak kurang juga masih ramai yang menganggur.
Isu peluang pekerjaan yang terhad menimpa graduan sebenarnya bukanlah perkara baharu kerana ia sudah berlaku sejak sekian lama.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mendedahkan, berdasarkan Statistik Siswazah 2020, bilangan penganggur siswazah mencecah 28 peratus atau seramai 202,400 orang.
Katanya, ia satu peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu jumlah penganggur siswazah adalah seramai 165,200 orang pada 2019 dan 158,400 orang pada 2018.
"Berdasarkan analisis Jabatan Perangkaan Malaysia, wujudnya isu struktur pasaran buruh yang digambarkan melalui guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran iaitu mereka yang mempunyai pendidikan tertiari (politeknik/kolej/universiti), namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.
"Walaupun siswazah yang bekerja dalam kategori mahir merangkumi lebih 70 peratus, bilangan siswazah yang bekerja dalam kategori kerja separuh mahir dan berkemahiran rendah terus mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun,” katanya.
Jadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila operator kilang, pekerja kedai makan mahupun abang Grab atau Foodpanda sebenarnya mempunyai sijil diploma, ijazah bahkan sarjana dan PhD.
Seperti perkongsian seorang pemilik akaun TikTok, @Amirul_daus98 yang rela hati memilih kerjaya sebagai pemandu lori walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Persembahan (Teater) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Malah dia bukanlah graduan ‘biasa-biasa’ sebaliknya pernah menerima empat kali Anugerah Dekan sewaktu pengajiannya dahulu.
Akui pemuda itu, faktor kurangnya peluang pekerjaan membuatkan sesetengah graduan cemerlang terpaksa memilih apa saja jenis pekerjaan yang ada demi meneruskan hidup.
Rakan-rakan penulis sendiri ramai yang bekerja di luar bidang pengajian masing-masing, malah ada yang lebih berjaya dalam pekerjaan yang pada mulanya dianggap ‘terpaksa’ kini menjadi kerjaya tetap.
Jadi tidak perlu malu jika kita perlu bekerja di luar pengkhususan atau lebih rendah daripada kelayakan kita. Ia lebih baik daripada hanya duduk menunggu peluang tanpa berbuat apa-apa, sedangkan masa yang ada itu boleh diisi dengan macam-macam pengalaman kerja.
Tambah lagi ketika ini dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat, bukan masa untuk terlalu memilih pekerjaan.
Ironinya sekarang, negara kita bukanlah kekurangan tawaran pekerjaan, tetapi sebaliknya tiada pekerja.
Sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik 1 April lepas, ekonomi negara beransur pulih, semua sektor telah dibenarkan untuk beroperasi semula.
Namun negara berdepan dengan masalah kekurangan pekerja di kebanyakan sektor.
Data menunjukkan Malaysia kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja dalam sektor perkilangan, perladangan dan pembinaan.
Ramai majikan merungut, walaupun membuka peluang kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan dengan gaji lumayan, maklum balas yang diterima sangat mengecewakan. Sudahnya pekerja asing jua yang dicari.
Sekiranya rakyat tidak terlalu memilih pekerjaan, masalah pengangguran di negara ini pasti dapat diatasi sepenuhnya.
Ini kerana Statistik Tenaga Buruh Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan bilangan penganggur seramai 637,700 orang pada Mei lalu.
Kerajaan pula, pelbagai usaha sudah dilakukan, dari inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion hinggalah penetapan gaji minimum RM1,500 sebulan yang berkuat kuasa Mei lalu untuk mengatasi masalah pengangguran.
Jadi sepatutnya tiada alasan rakyat tiada kerja atau susah mencari pekerjaan kerana banyak peluang yang tersedia.
* Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Sinar Harian