RATU terjun, Datuk Pandelela Rinong sekali lagi menjadi sandaran kontinjen Malaysia dalam mencapai sasaran enam pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang bakal membuka tiranya secara rasmi pada awal pagi Jumaat ini.
Biarpun skuad terjun tidak diletakkan sasaran khusus dalam menyumbang pingat, Malaysia pastinya sekali lagi menagih 'terjunan emas' Pandelela seperti mana yang dilakukan pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.
Malah, kejayaan Pandelela meraih dua pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Budapest, Hungary bulan lalu menjadi 'tiket' terbaik buat kontinjen Malaysia dalam misi menyambar emas di bumi Birmingham.
Namun, Pandelela tidak mahu terlalu tertekan bagi merealisasikan misi tersebut, sebaliknya dia berharap seluruh peminat sukan tanah air mendoakan skuad terjun mampu beraksi baik pada temasya kali ini.
"Untuk Sukan Komanwel di Birmingham, tiada sasaran pingat yang khusus ditetapkan kepada skuad terjun negara seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini.
"Namun, skuad terjun tetap melakukan persiapan seperti biasa sebagai persediaan beraksi di Birmingham. Setakat ini, segala persiapan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
"Cuma saya minta doakan kejayaan kami. Soal pingat, kami akan cuba beri yang terbaik kerana saya sedar kami juga akan menentang beberapa atlet terbaik dari negara lain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Di Birmingham, skuad terjun negara bakal menampilkan tujuh atlet lelaki iaitu Chew Yiwei, Ooi Tze Liang, Muhammad Syafiq Puteh, Bertrand Anak Lises, Jellson Jabilin, Hanis Nazirul dan Gabriel Gilbert Daim.
Pandelela akan mengetuai kem wanita yang turut disertai rakan gandingannya dalam acara 10 meter (m) platform seirama, Nur Dhabitah Sabri selain Kimberly Bong, Ong Ker Ying dan Ng Yan Yee.
Pada Kejohanan Dunia di Budapest, Pandelela dan Dhabitah meraih gangsa dalam acara tersebut, sekali gus menjadi sandaran untuk membawa pulang kilauan emas dari Birmingham.
Malah, Pandelela juga pastinya tidak mahu terlepas pingat emas dalam acara sama selepas dia dan Cheong Jun Hoong berjaya melakukannya pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 lalu.
"Sasaran saya pada Sukan Komanwel kali ini adalah untuk sekali lagi melakukan yang terbaik. Lagi pun ini merupakan Sukan Komanwel keempat saya sejak edisi 2010 di New Delhi, India.
"Jadi saya juga berharap rakan-rakan lain akan turut memberikan yang terbaik, seterusnya menjamin kejayaan buat skuad terjun negara di Birmingham nanti,” ujarnya.