PEMAIN baharu Manchester United, Christian Eriksen menegaskan kedatangannya ke Old Trafford bukanlah untuk mengejar populariti, sebaliknya untuk bermain bola sepak.
Menurut Eriksen dia juga bersetuju menyertai skuad The Red Devils itu musim panas ini, sebagai kesinambungan kariernya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), setelah beraksi selama setengah musim dengan Brentford, musim lalu.
Malah tonggak Denmark itu turut menjangkakan akan dipilih selaku pemain utama oleh pengendali United, Erik ten Hag.
"Saya bersetuju datang ke sini (Old Trafford), adalah untuk bermain bola sepak. Itu yang pasti... bukan kerana ‘logo’ atau untuk mengejar populariti.
"Dalam masa sama, saya mengakui bahawa United merupakan kelab yang besar kerana namanya disebut di mana-mana sahaja dan semua orang tahu mengenai sejarah dan dari mana kelab ini datang.
"Saya juga telah bercakap dengan Ten Hag dan mendengarkan ideanya membuatkan saya membuat keputusan untuk menyertai United dan berbangga dapat menjadi sebahagian daripada kelab yang kaya dengan sejarah dan kejuaraan ini,” katanya.
Untuk rekod, Eriksen menyertai Brentford pada 2021 setelah dilepaskan oleh Inter Milan berikutan masalah kesihatan yang dialaminya sehingga menyaksikannya rebah di padang dan dikejarkan ke hospital ketika beraksi di Euro 2020 dan disyaki akibat serangan jantung.
Eriksen kemudiannya disahkan terkena serangan jantung atau cardiac arrest dan terpaksa berehat buat seketika.
Sementara itu Eriksen berkata, dia terhutang budi dengan Brentford kerana sudi menerimanya setelah disingkirkan Inter Milan musim lalu.
Katanya, beraksi dengan skuad The Bees itu selama enam bulan nyata memberikannya semula semangat untuk meneruskan kariernya dalam sukan bola sepak.
"Setelah insiden rebah pada Euro 2020, saya tidak memiliki pasukan dan mujurlah Thomas (Frank) menawarkan kepada saya untuk beraksi dengan Brentford bagi tempoh enam bulan,” katanya.