TEKA-TEKI mengenai hala tuju bintang Uruguay, Luis Suarez akhirnya terjawab apabila penyerang berusia 35 tahun itu mengumumkan dia bakal kembali menandatangani kontrak dengan kelab Nacional, musim depan.
Menurut Suarez, setakat ini perbincangan berhubung perkara berkenaan sudah pun mencapai beberapa persetujuan dan sedang menuju ke peringkat akhir perbincangan tidak lama lagi.
"Setakat ini semua urusan perbincangan saya bersama Nacional berjalan dengan lancar dan setelah semuanya selesai, saya akan kembali beraksi dengan kelab yang pernah membantu menaikkan nama saya ketika di zaman remaja.
"Saya juga sebenarnya sangat teruja untuk kembali beraksi di Uruguay setelah sekian lama berkelana dalam saingan liga di Eropah.
"Secara keseluruhannya, perkara berkenaan merupakan faktor utama untuk saya menerima tawaran daripada Nacional dan kini saya berazam untuk melakukan yang terbaik bersama mereka,” katanya.
Untuk rekod, Suarez memulakan karier selaku pemain bola sepak professional bersama Nacional pada 2005 dan seterusnya terpilih untuk beraksi dengan skuad kebangsaan Uruguay.
Suarez kemudiannya berkelana di Eropah dan beraksi dengan beberapa kelab terkemuka seperti Barcelona, Liverpool, Ajax Amsterdam, Groningen FC dan Atletico Madrid.
Sementara itu menurut Suarez, beraksi bersama Nacional dalam saingan Liga Uruguay kelak memberikannya peluang untuk mempersiapkan diri menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar penghujung tahun ini.
"Jika dahulu, saya melakukan persiapan untuk beraksi di Piala Dunia 2010, 2014 dan 2018 ketika berada di Eropah.
"Kini, saya berpeluang untuk melakukan persiapan di negara saya sendiri yang juga mungkin merupakan persiapan saya untuk Piala Dunia yang terakhir dalam karier saya,” katanya.