Hotel dua tingkat musnah dalam kebakaran

Iklan
Anggota bomba memadamkan kebakaran di sebuah hotel di tengah bandar Alor Setar, di sini, pada awal pagi Rabu. - Foto ihsan JBPM Kedah

ALOR SETAR - Sebuah hotel dua tingkat yang terletak di tengah bandar raya Alor Setar, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.26 pagi.

Iklan
Iklan

Mohamadul Ehsan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Arizal Mahmud tiba di lokasi tidak lama kemudian bagi operasi pemadaman.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak membakar bangunan terbabit serta melakukan 'size up' awal bagi memastikan tiada mangsa dan seterusnya memadam kebakaran.

Iklan

"Operasi pemadaman membabitkan hotel dua tingkat kelas C itu yang mengalami kebakaran sebanyak 90 peratus masih diteruskan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, operasi itu dibantu lapan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya, PBS Simpang Empat Alor Setar, PBS Jalan Kundor, PBS Kuala Kedah, PBS Kota Sarang Semut, PBS Kampung Baru Rangkaian Simpang Empat, PBS Seberang Nyonya, PBS Tanah Merah dan PBS Taman Mutiara.

Iklan

Bagaimanapun, Mohamadul Ehsan berkata, tiada mangsa dilaporkan berada dalam hotel berkenaan ketika kejadian, manakala punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Hotel dua tingkat ini dikatakan telah lima kali mengalami kebakaran sebelum ini, namun ia hanya melibatkan kebakaran kecil.