Nur Dhabitah elak tekanan di Birmingham

Iklan
Nur Dhabitah

PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri mungkin antara harapan penyumbang pingat kepada Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, namun dia tidak ‘berani’ terlalu memikirkan untuk melangkah ke podium di Pusat Akuatik Sandwell yang serba baharu di sini.

"Saya tidak mahu memikirkan soal memenangi pingat kerana saya percaya ia akan membuatkan saya tertekan. Tetapi saya hanya berharap untuk melakukan terjunan terbaik saya di Birmingham,” katanya.

Iklan
Iklan

Nur Dhabitah akan mencuba nasib dalam empat acara iaitu 3 meter (m) papan anjal wanita, 3m papan anjal seirama wanita (dengan Wendy Ng Yan Yee), 10m platform seirama wanita (bersama Datuk Pandelela Rinong) dan 3m papan anjal seirama campuran (bersama Muhammad Syafiq Puteh).

Mengenai persiapannya setakat ini, pemenang tiga pingat gangsa Sukan Komanwel itu mengakui masih ada ruang untuk diperbaiki terutama dari segi teknikal menjelang temasya empat tahun sekali itu di sini.

Iklan

Bagaimanapun, Nur Dhabitah percaya rakan sepasukannya telah berlatih tanpa jemu dalam usaha mencapai sasaran satu pingat emas yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi kem terjun negara di sini.

"Sama ada dapat atau tidak, itu belakang cerita, saya tahu rakan sepasukan saya telah berlatih dengan bersungguh-sungguh dan kini tiba masanya untuk kami beraksi," katanya.

Iklan

Selain kem terjun, MOM telah menetapkan sasaran emas untuk badminton, boling padang, powerlifting, gimnastik berirama dan angkat berat.

Kontinjen negara akan diwakili 162 individu membabitkan 104 atlet, 44 pegawai dan 13 petugas.

Sukan Komanwel 2022 akan bermula pada Khamis hingga 8 Ogos dengan melibatkan kira-kira 6,500 atlet dari 72 negara dan wilayah dijangka mengambil bahagian pada edisi kali ini. - Bernama