Indeks harga pengeluar susut 10.9 peratus pada Jun

Iklan
Mohd Uzir Mahidin

INDEKS Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, menyederhana kepada 10.9 peratus bagi tahun ke tahun pada Jun 2022 berbanding 11.2 peratus pada Mei 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Iklan
Iklan

IHPR Jun 2022 didorong terutamanya oleh pertumbuhan dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang meningkat 18.1 peratus tahun ke tahun berbanding 16.7 peratus pada Mei 2022.

Menurut infografik yang dikeluarkan pada Rabu, ini diikuti oleh indeks perlombongan (naik 17.5 peratus berbanding 20.6 peratus), indeks pembuatan (naik 10 peratus berbanding 10.1 peratus) manakala indeks bekalan air naik 2.1 peratus daripada 1.2 peratus.

Iklan

Bagaimanapun, IHPR bagi sektor bekalan elektrik dan gas menurun 0.2 peratus tahun ke tahun pada Jun 2022 iaitu penurunan daripada -0.6 peratus pada Mei 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, inflasi di peringkat pengeluar pada Jun 2022 di beberapa negara adalah lebih tinggi berbanding 10.9 peratus di Malaysia.

Iklan

Menurutnya, sebagai contoh, inflasi tersebut di Jerman adalah 32.7 peratus, United Kingdom (16.5 peratus) dan Amerika Syarikat (11.3 peratus).

"Kenaikan di Jerman didorong oleh kenaikan harga tenaga (gas asli dan elektrik) manakala peningkatan di United Kingdom disebabkan oleh faktor seperti produk petroleum (86.1 peratus, kimia dan farmasutikal (22.9 peratus) dan produk makanan (12.3 peratus).

"Pada masa sama, kenaikan harga gasolin, diesel, kenderaan bermotor dan kelengkapan serta gas asli menyumbang kepada kenaikan 11.3 peratus bagi inflasi di peringkat pengeluar di Amerika Syarikat pada Jun 2022,” katanya dalam Kenyataan Media IHPR Pengeluaran Tempatan Malaysia Jun 2022 yang dikeluarkan pada Rabu.

Mohd Uzir berkata, Jepun dan Korea Selatan juga menyaksikan inflasi pengeluar mereka meningkat masing-masing 9.2 peratus dan 9.9 peratus pada Jun 2022.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, beliau berkata, IHPR pengeluaran tempatan pada Jun 2022 untuk pertama kalinya susut pada tahun ini dengan merekodkan -0.1 peratus berbanding kenaikan 1.2 peratus pada Mei 2022.

Penurunan ini disumbangkan oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang mencatatkan pengurangan 9.5 peratus (Mei 2022: 0.9 peratus), dipengaruhi oleh kejatuhan dalam indeks buah tandan segar sawit (-14.3 peratus).

Bagi suku kedua 2022, Jabatan Perangkaan menyatakan bahawa IHPR pengeluaran tempatan merekodkan kenaikan 11.1 peratus daripada 10.2 (suku pertama), dipacu oleh indeks perlombongan (18.8 peratus, pertanian, perhutanan dan perikanan (17.6 peratus), pembuatan (10.0 peratus) dan bekalan air (1.5 peratus).

Indeks bekalan elektrik dan gas bagaimanapun turun 0.1 peratus.

Selain itu, perbandingan suku ke suku tahun menunjukkan IHPR pengeluaran tempatan meningkat pada kadar yang perlahan iaitu 3.3 peratus berbanding 3.5 peratus pada suku tahun pertama 2022, kata jabatan itu. - Bernama