KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dibentangkan pada Rabu tidak sepenuhnya memenuhi tuntutan atau usul Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, pihaknya menganggap ia merupakan satu permulaan yang sangat bermakna dan bersejarah.
"Kerana kesannya bukan sahaja dari segi undang-undang perlembagaan tetapi pengertian moral, integriti ahli Parlimen yang tidak dianggap sebagai penjual maruah dan khianat kepada amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat pada Rabu.
Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang berkata, dengan pembentangan RUU ini, maruah politik negara dapat dikembalikan.
"Kalau Yang Berhormat kaji daripada Wikipedia, Malaysia terus naik di antara negara yang melahirkan ahli-ahli Parlimen tidak berprinsip dan khianat serta boleh menggadai prinsip mereka seperti apa yang berlaku dalam 'Langkah Sheraton',” tegasnya.
Menurutnya, ikhtiar terbaru ini juga adalah percubaan untuk menghindari daripada perkara ini berterusan.
"Kalau perkara ini berlaku dan dibenarkan, orang yang 'maha kaya' atau 'maha berkuasa' boleh menentukan corak kerajaan semata-mata kerana wang ringgit mereka atau kerana kuasa yang ada pada mereka dan janji politik yang tidak ada penghormatan,” ujarnya.
Selain itu, Ahli Parlimen Port Dickson ini menambah, pindaan perlembagaan ini berlaku kerana ada kesilapan besar di dalam sistem dan semua pihak mengakuinya.
"Ada lompongan dalam sistem yang membolehkan ahli-ahli politik itu jadi bahan dagangan dijual dengan harga atau kedudukan.
"Dan ini saya katakan sekali lagi menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terutama orang muda terhadap ahli politik dan sistem politik,” tegasnya.
Menurutnya, adalah penting dalam gerak kerja bersama bagi memulihkan keyakinan rakyat terutamanya golongan muda.
"Memulihkan keyakinan ini dengan menekankan bahawa segala pengkhianatan atau rasuah diambil tindakan secara serius,” katanya.