Polis siasat dakwaan kanak-kanak OKU didera guru

Iklan
Hantaran tular mengenai kanak-kanak OKU tersebut. (Gambar kecil: Tan Cheng San)

BUKIT MERTAJAM - Polis membuka satu kertas siasatan berhubung seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang didakwa didera oleh guru di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kertas siasatan berhubung kes itu dibuka selepas polis menerima laporan yang dibuat ibu mangsa di Balai Polis Seberang Jaya pada 19 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan, mangsa merupakan kanak-kanak autisme dan bersekolah di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya. Kejadian dipercayai berlaku pada jam 9.30 pagi, 19 Julai lalu yang mana, mangsa dikatakan bertindak agresif di dalam kelas sehingga menyebabkan beberapa murid lain takut dan menangis.

Iklan

"Susulan daripada itu, seorang guru wanita berusia lingkungan 30-an telah datang lalu memegang kedua-dua belah telinga mangsa untuk menenangkannya. Bagaimanapun, akibat daripada perbuatan guru tersebut, kedua-dua telinga mangsa dikatakan lebam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut.

Iklan

"Orang awam dinasihatkan supaya tidak menularkan isu ini di media sosial kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat setempat.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini," katanya.

Sebelum ini, tular mengenai seorang kanak-kanak OKU didakwa mengalami kecederaan pada telinga dipercayai didera oleh guru sekolahnya.

Isu tersebut dimuat naik oleh seorang wanita di Facebooknya pada Isnin lalu, dengan menggunakan tajuk 'Seorang Lagi Anak OKU Disakiti'.

Hantaran itu mendapat 783 komen dan dikongsi oleh 946 pelayar selain mendapat lebih 6,000 tanda emosi.