GEORGETOWN - Penganugerahan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) kepada dua pegawai Pejabat Ketua Menteri sempena Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Sempena Hari Ulang Tahun Ke-73 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT) Pulau Pinang ditangguhkan.
Dalam satu kenyataan Pejabat Ketua Menteri, perkara itu disebabkan seseorang yang telah menerima sesuatu kurniaan negeri hanya boleh dicalonkan semula selepas tiga tahun dari tarikh kurniaan terdahulu.
"Penangguhan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
"Ini kerana, mengikut garis panduan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang, seseorang yang telah menerima sesuatu kurniaan negeri hanya boleh dicalonkan semula selepas tiga tahun dari tarikh kurniaan terdahulu," katanya pada Rabu.
Dalam kenyataan itu lagi, dalam pertemuan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bersama Ahmad Fuzi pada Rabu, perkara itu dijelaskan bahawa pencalonan kedua-dua pegawai berkaitan yang merupakan penjawat awam adalah diuruskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"Dua pegawai berkenaan berasa lega isu yang dilaporkan oleh sesetengah media semalam (Selasa) dapat diselesaikan.
"Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan penambahbaikan dilakukan terhadap perkara berkaitan pada masa hadapan," katanya.