‘Dewan Rakyat tempat bincang, bahas kepentingan rakyat’

Iklan
Ramli Mohd Nor - Foto Facebook

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Rakyat sekali lagi diingatkan agar mematuhi semua peraturan mesyuarat ditetapkan supaya kepentingan rakyat dapat dibahas dan dibincangkan dengan teratur.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, ketidakpatuhan kepada peraturan yang ditetapkan itu juga boleh menggambarkan sikap ahli Dewan Rakyat yang tidak menghormati Cokmar Diraja, sedangkan ia simbolik kepada keabsahan dewan itu.

Iklan
Iklan

Sambil menyentuh beberapa peraturan antaranya tidak mencelah sekiranya ahli Dewan Rakyat sedang berbahas tidak memberi ruang, diam ketika pengerusi mesyuarat sedang bercakap, tidak mengeluarkan perkara tidak senonoh serta tidak mempertikaikan keputusan yang telah dimuktamadkan oleh pengerusi majlis.

"Cokmar Diraja yang berada di depan kita adalah simbolik kurniaan Raja-raja Melayu yang membuktikan keabsahan (kerajaan). Tanpa keabsahan, tiada satu pun benda yang kita bincang dalam dewan ini adalah absah.

Iklan

"Jadi, apa yang saya mohon ketika sesi perbahasan dalam dewan yang mulia ini ada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Walau pun saya tahu Yang Berhormat faham tetapi saya ingin mengingatkannya lagi.

"Ini adalah asas kepada peraturan majlis. Saya berharap kita dapat membincangkan dan berbahas kepentingan rakyat dengan teratur,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Iklan

Peringatan Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands itu dibuat susulan tindakan beberapa ahli Parlimen yang bangkit mencelah ketika ahli Parlimen lain sedang berbahas, meskipun tidak diberikan kebenaran untuk berbuat demikian.