SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyasarkan Stadium Shah Alam sama ada dibaik pulih atau dibangunkan semula kembali beroperasi sepenuhnya dalam tempoh empat tahun lagi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, stadium itu dijangka dapat digunakan semula bergantung kepada pencapaian kemajuan projek dilaksanakan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
"Kita jangkakan Stadium Shah Alam dari segi keselamatan dapat digunakan semula pada tahun 2026, namun begitu pencapaian MRCB sebelum ini mereka boleh menaik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil dalam tempoh setahun tiga bulan sahaja.
"Justeru, kita meminta MRCB mempercepatkan projek terbabit, namun kita juga ingin melihat supaya elemen-elemen tertentu seperti padang dapat diuruskan dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail yang bertanyakan tentang kemampuan dan sejauh mana penyelenggaraan Stadium Shah Alam pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.
Amirudin berkata, melalui pemberian Surat Niat (LOI) tersebut, MRCB perlu mengemukakan rancangan pembangunan dalam tempoh enam bulan bermula dari Julai hingga awal tahun depan.
Jelas beliau, MRCB diminta mengemukakan keseluruhan rancangan termasuk pelan kebenaran merancang dan pelan pembangunan bagi memulakan proses naik taraf atau pembangunan semula Stadium Shah Alam bagi kemudahan dan keperluan semasa.
Ujar beliau, pada masa ini kerajaan negeri sedang mempertimbangkan beberapa perkara termasuk pembangunan semula Stadium Shah Alam berikutan kos penyelenggaraan meningkat lebih sekali ganda berbanding kos asal hanya RM350 juta pada tahun 2013.
"Hasil penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2013 kita dapati kos penyelenggaraan sekitar RM350 juta, namun pada hari ini setelah kita membuat penilaian semula dan berdasarkan harga semasa serta kerosakan terkini yang ditanggung oleh Kompleks Sukan Shah Alam, kos telah meningkat hampir lebih sekali ganda iaitu RM787 juta.
"Sebab itu kita sedang pertimbangkan jika kos naik taraf atau bina semula itu lebih rendah atau bersamaan dengan RM787 juga, lebih baik kita dapat bangunkan stadium baharu yang kedua-duanya semua komponen itu dikekalkan untuk tujuan kegunaan pembangunan sukan di negeri Selangor," jelas beliau.
Amirudin berkata, sejak dari tahun 2008 hingga 2018, kerajaan Selangor membelanjakan sebanyak RM56 juta bagi proses menaik taraf dan baik pulih serta beberapa komponen lain di persekitaran stadium terbabit.
Kata beliau, pada setiap tahun sejak ia diuruskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sehingga diserah secara rasmi kepada MRCB, sebanyak RM5 hingga RM6 juta diperuntukkan bagi memastikan stadium dalam keadaan baik di samping melaksanakan pelbagai aktiviti yang lazimnya diadakan di kawasan terbabit.
"Sepanjang tempoh 2018 hingga 2022 pula, sebanyak 2.2 juta dibelanjakan untuk baik pulih beberapa kemudahan seperti mengecat pagar stadium, menaik taraf tandas dan bumbung, manakala sebanyak 5.22 juta juga telah dibelanjakan bagi penyelenggaraan berkala seperti pembersihan luar dan dalam stadium,perkhidmatan kawalan keselamatan penyelenggaraan lif, penyelenggaraan padang dan kerja-kerja elektrik sepanjang tempoh terbabit," katanya.
Amirudin memberitahu, peruntukan geran kerajaan negeri juga digunakan untuk kerja menaik taraf penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan lain seperti Kompleks Sukan Shah Alam seperti Stadium Melawati, Stadium Mini, Pusat Akuatik, Lapangan Boling Padang dan Taman Sukan Lasak Seksyen 13," katanya.
Malah, kata beliau, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi penggantian bumbung stadium dan komponen terjejas sebelum Sukan SEA 2017
"Dalam tempoh 2015 hingga 2017 sebanyak RM11.745 juta dibelanjakan untuk menaik taraf kemudahan tandas, pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pembaikan bumbung stadium, menaik taraf bilik korporat, menaik taraf lampu limpah padang dan kos ini tidak termasuk penyelenggaraan penambahbaikan kecil sepanjang tempoh tersebut," katanya.