Ahli perniagaan didakwa guna gelaran Datuk Seri tidak diiktiraf

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menggunakan gelaran 'Datuk Seri' yang tidak diiktiraf.

Mak Hon Leong, 39, didakwa menggunakan dan menikmati gelaran serta panggilan suatu anugerah yang tidak diiktiraf kepadanya dalam urusan perniagaan dan persendirian tanpa restu dan kebenaran oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang), Sentul di sini pada jam 9 pagi, 22 Oktober 2021.

Iklan
Iklan

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 yang membawa hukuman denda minimum RM100,000 dan maksimum RM250,000 atau penjara minimum setahun dan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Iklan

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Hon Leong memohon jaminan dikurangkan kerana tujuan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

"Anak guam saya hadir ke mahkamah hari ini untuk didakwa dan dia bukan seorang ‘flight risk’,” katanya yang turut mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan penjamin adalah isteri tertuduh.

Iklan

Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes. - Bernama