SHAH ALAM - Rancangan Selangor Pertama (RS-1) mengenal pasti sembilan sektor tumpuan berdasarkan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk terus memacu ekonomi di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua sektor itu berpotensi melonjakkan kedudukan ekonomi Selangor sebagai 'economic powerhouse' di samping menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Katanya, usaha itu secara tidak langsung dapat memperkukuhkan lagi status Selangor sebagai pusat pembangunan ekonomi dan destinasi utama untuk pelaburan strategik di negara ini dan di rantau Asia.
"RS-1 telah mengenal pasti beberapa wilayah yang akan dibangunkan melalui rancangan pembangunan berasaskan pelan pembangunan wilayah yang merupakan tambahan kepada sembilan sektor tumpuan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan RS-1 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Rabu.
Amirudin memberitahu, Pelan Pembangunan Wilayah ini termasuklah Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG).
"IDRISS merupakan pembangunan pelaburan swasta bersepadu di daerah Sepang dan Kuala Langat dengan dilengkapi kemudahan oleh kerajaan negeri dan disokong dengan insentif negeri dan Persekutuan merangkumi jumlah keluasan 40,000 ekar (20,000 hektar) dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1 trilion," katanya.
Jelas beliau, RS-1 melaksanakan SABDA dengan jumlah pelaburan RM1.9 bilion bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi di daerah Sabak Bernam.
"Pembangunan Sabak Bernam meliputi kawasan seluas 1,317 hektar ini dianggarkan akan memberi pulangan hasil sebanyak RM248 juta setahun daripada aktiviti teras ekonomi serta mampu mewujudkan 3,600 peluang pekerjaan," jelasnya.
Menurut Amirudin, sektor pertanian di Selangor berkembang pada kadar tiga peratus setahun dari tahun 2015 hingga 2020 dan terus berkembang meskipun dalam keadaan berlakunya pandemik Covid-19.
"KDNK sektor pertanian Selangor mencatatkan peningkatan marginal kepada RM4.72 bilion pada tahun 2020, berbanding RM4.71 bilion pada tahun 2019," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri memberikan komitmen terhadap sektor pertanian melalui peruntukan khusus dalam Belanjawan Selangor 2021 termasuk inisiatif menghasilkan tanaman nilai tinggi melalui penggunaan Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi yang melibatkan peruntukan RM26.4 juta.
"Kerajaan negeri juga akan melancarkan Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG) yang bertindak sebagai koridor pembangunan ekonomi dengan meliputi kawasan seluas 27,960 hektar di sekitar Sungai Klang beserta anggaran pelaburan sebanyak RM2.2 bilion," ujarnya.