KUALA LUMPUR - Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menyarankan pemain industri dari sektor perladangan supaya mengambil buruh asing dari negara lain dan bukannya bergantung kepada buruh dari Indonesia dan Bangladesh.
Beliau berkata, negara seperti Pakistan, India dan Afghanistan boleh diterokai oleh sektor perladangan untuk mendapatkan bekalan buruh dalam masa terdekat.
"Bagaimanapun, kita perlu memudahkan mereka dan memberi taklimat kepada mereka tentang jenis kerja yang ada dalam sektor perladangan di Malaysia.
"Jika ada minat positif, kita boleh mula mengambil antara 50 dan 100 pekerja asing di peringkat awal untuk melihat sama ada mereka selesa di sini,” katanya semasa sesi bersama delegasi Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 pada Rabu.
Beliau memberitahu, pemain industri boleh meningkatkan bilangan pekerja asing jika sambutannya positif dan bukan hanya bergantung kepada negara tradisional untuk mendapatkan buruh asing.
Mengenai MIACES 2022, beliau memuji acara itu sebagai platform yang sesuai untuk memberi perspektif yang lebih baik tentang industri minyak sawit Malaysia dan bagi menafikan dakwaan buruh paksa yang digunakan dalam sektor perladangan.
"Saya berharap pemain industri dari seluruh dunia dapat berkumpul bersama dan menyokong industri minyak sawit Malaysia serta mempunyai persepsi yang lebih baik terhadap sektor perladangan kita melalui ekspo ini,” katanya. - Bernama