Pesilat negara mula langkah kanan di Kejuaraan Pencak Silat Dunia

Iklan
Mohd Al Jufferi (kiri) ketika beraksi menentang Suraj Kumar di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di MITC pada Rabu. - Foto Bernama

BIARPUN kecederaan pada bahu kanan masih belum sembuh sepenuhnya, persembahan pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari tetap ampuh apabila bermula langkah kanan pada saingan hari pertama Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022.

Beraksi dalam kategori Tempur Kelas F lelaki, juara dunia tiga kali itu bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah sebelum menewaskan lawan dari India, Suraj Kumar dengan keputusan 41-16 untuk mara ke pusingan seterusnya.

Iklan
Iklan

"Bukan mudah untuk bermain dengan pemain baharu kerana mereka ini suka dan awal-awal sudah mengkaji teknik dan taktikal kita.

Mereka dah kaji teknik saya dan untuk itu saya tidak boleh pandang rendah pada mereka," katanya pada media selepas perlawanan yang berlangsung di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada Rabu.

Iklan

Bagi aksi esok, pemenang pingat emas empat kali temasya Sukan SEA itu bakal bertemu pesaing dari Filipina Alvin Campos yang sebelum itu menewaskan peserta Belanda Rex Burema dengan keputusan 45-20.

Bagi kategori seni, kelincahan Mohd Shukrillah Badrilah dalam saingan solo lelaki berjaya menewaskan pesilat Vietnam Tran Duc Danh dengan keputusan 9.895 mata.

Iklan

Kategori seni juga menyaksikan seorang lagi pesilat negara Luqman Laji mara ke pusingan seterusnya dalam kategori seni solo lelaki selepas menewaskan pesaing dari Brunei Darusalam, Muhd Ali Saifullah Abdullah Md Suhaimi apabila mencatat 9.940 mata.

Bagaimanapun regu wanita negara yang menggandingkan Merrywati Manuil, Fatin Ardani Zamri dan Siti Nur Khairunnisa Hail dalam aksi seni terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Indonesia apabila tewas tipis dengan 0.01 mata.

Pada aksi tersebut regu Indonesia Envy Tri Susilowati, Riana Oktaviana dan Riva Hijriah mempamerkan persembahan mantap dalam tempoh genap tiga minit yang ditetapkan untuk mengutip 9.945 mata bagi memastikan kemenangan pasukan negara itu.

Kejuaraan Pencak Silat Dunia yang berlangsung selama enam hari itu disertai lebih 500 peserta dari 40 negara termasuk Malaysia sebagai tuan rumah, Indonesia, Thailand, Filipina, Kanada dan Vietnam. - Bernama