Syaqiera pertaruh pengalaman dua temasya di AUG 2022

Iklan
Syaqiera Mashayikh

PEMANAH negara, Syaqiera Mashayikh berazam meneruskan prestasi cemerlang di Sukan SEA Hanoi 2021 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila menyingkap tirai cabaran Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Kampus Ban Yang Noi, Ubon Ratchathani, pada Khamis.

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, dia akan menggunakan pengalaman dalam dua temasya sebelum ini untuk menyumbang pingat pada aksi pertamanya di pentas AUG.

Iklan
Iklan

"Banyak perubahan besar berlaku kepada saya sejak balik dari Sukan Tokyo 2020, terutamanya aspek kematangan dalam menangani tekanan.

"Di AUG 2022, tiada tekanan cumanya bangga menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang kerana ini kali pertama beraksi di AUG.

Iklan

"Saya tidak pasti mengenai saingan, namun akan berusaha dapatkan pingat untuk negara, segala keputusan saingan saya terima. Sejujurnya saya tidak meletakkan warna pingat, namun sekiranya boleh nak menang pingat emas,” kata atlet berusia 22 tahun itu.

Syaqiera pemanah wanita ketiga negara beraksi di Sukan Olimpik selepas Mon Redee Sut Txi (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012).

Iklan

Biarpun Syaqiera terkandas di pusingan pertama di Tokyo 2020, atlet kelahiran Segamat itu menimba pengalaman berharga apabila berjaya memadam rekod kebangsaan berusia 17 tahun milik Mon Redee.

Syaqiera kemudian meneruskan monentum positif di Sukan SEA Hanoi 2021 apabila meraih gangsa acara recurve individu dan perak berpasukan campuran.

Di AUG 2022, Syaqiera akan beraksi acara recurve individu, sebelum bergandingan dengan Nur Afisa Abdul Halil, Nur Husna Nadhirah Khalid dan Nuramalia Haneesha Mazlan bagi acara berpasukan pada 30 Julai ini.