NGO digesa bersama kerajaan pastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia

Iklan
Ismail Sabri menyampaikan ucapan ketika Majlis Makan Malam Gabungan NGO Keluarga Malaysia dan Pelancaran Anugerah NGO Malaysia 2022 di WTC-KL malam ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Keluarga Malaysia dan Yayasan Generasi Malaysia digesa memainkan peranan dengan menggemblengkan ahli mereka menjadi"mata dan telinga” kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui penggemblengan tenaga dan usaha seperti kata pepatah Melayu"Muafakat Membawa Berkat” pastinya akan membolehkan kemakmuran dan keamanan dikecapi, sekali gus mampu meningkatkan lagi Indeks Kebahagian Malaysia.

Iklan
Iklan

"NGO tidak harus bersikap tunggu dan lihat tetapi perlu lebih proaktif dan bertindak menerusi ahli-ahli bagi membantu mengurangkan sebarang cabaran yang dialami Keluarga Malaysia.

Justeru, saya berharap agar semua NGO menubuhkan kumpulan atau bergabung untuk membentuk sebuah kumpulan yang lebih besar dan berpengaruh untuk tujuan tersebut,” katanya pada Majlis Makan Malam Gabungan NGO Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam ini.

Iklan

Perdana Menteri berkata, kerajaan percaya sebarang perancangan yang dibuat dan sedang dilaksanakan boleh mencapai kejayaan sekiranya mendapat sokongan semua pihak termasuk NGO.

Katanya, penglibatan semua pihak dalam memperkasakan Aspirasi Keluarga Malaysia adalah penting untuk melonjakkan tahap kehidupan Keluarga Malaysia dan seterusnya memantapkan prestasi ekonomi negara.

Iklan

"Kerajaan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan hubungan baik antara kerajaan dan NGO supaya suasana aman dan harmoni dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat majmuk.

"Maka, saya menyeru supaya lebih ramai tampil melalui NGO masing-masing untuk turut sama menjayakan pelbagai rancangan dan insiatif yang diperkenalkan kerajaan kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 588 NGO mewakili pelbagai latar belakang di negara ini telah didaftarkan di bawah Gabungan NGO Keluarga Malaysia. - Bernama