KDA FC gagal manfaatkan peluang

Iklan
Ngah Wanja (kanan) gagal menyempurnakan sepakan penalti pada aksi bertemu Kuala Lumpur City FC pada Rabu. - Foto KDA FC

KEGAGALAN memanfaatkan peluang terhidang menjadi punca Kedah Darul Aman (KDA) FC tewas 2-1 kepada Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super 2022 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada malam tadi.

Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak mengakui kegagalan tersebut menyaksikan pasukannya itu tidak mampu meraih sebarang mata di tempat lawan sekali gus jatuh ke tangga kelima liga dengan mengutip 17 mata selepas 12 perlawanan.

Iklan
Iklan

"Seperti saya katakan sebelum ini bahawa perlawanan ini adalah sukar. Jika kita gagal manfaatkan peluang maka kita yang akan dihukum dan saya fikir masalah ini (gagal memanfaatkan peluang) masih berlaku.

"Bila kita mendapat peluang itu, kita pula tidak menggunakannya, saya fikir kita beraksi dengan baik pada separuh masa pertama namun pada separuh masa kedua selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti, pemain telah hilang tumpuan. Mereka cuba untuk bangkit namun gagal," katanya selepas tamat perlawanan.

Iklan

Pada perlawanan itu, KDA FC terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Aiman Afif pada minit ke-42 dan sebelum penyerang KL City, Jordan Mintah menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke- 56 hasil sepakan penalti.

Tiga minit selepas itu, Ronald Ngah Wanja berpeluang meletakkan KDA FC kembali di depan, namun penyerang kelahiran Cameroon itu gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila rembatannya sekadar singgah ke palang gol untuk skuad warga kota terselamat daripada bolos buat kali kedua.

Iklan

Sebaliknya, Jordan Mintah melengkapkan kemenangan tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-72 selepas menerima hantaran daripada Romel Morales.

Skuad bimbingan Aidil Sharin selepas ini akan berkunjung ke Kuantan pada 1 Ogos bertemu Sri Pahang FC bagi aksi ke-13 Liga Super 2022.