KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalin kerjasama dengan pasukan polis di beberapa buah negara ASEAN dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, antara pasukan polis negara-negara ASEAN yang telah menjalin kerjasama dengan PDRM adalah Korea, Taiwan, Singapura, Hong Kong dan Macau.
Beliau berkata, kerjasama itu membabitkan jenayah judi dalam talian, pelaburan tidak wujud, Love Scam dan sebagainya.
"Memang kita perlukan kerjasama antara polis luar negara, Interpol dan sebagainya kerana banyak kategori kes yang berlaku sama ada operasi (penipuan) berada dalam negara (Malaysia) dan mangsa berada di luar negara. Ada juga operasi dilakukan di luar negara dan mangsa pula berada di luar negara.
"Jadi, sebab itulah kita memerlukan kerjasama dengan polis-polis di luar negara dan kita juga memainkan peranan sama jika diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang bertanyakan apakah KDN khususnya PDRM menjalin kerjasama dengan pasukan polis luar negara termasuk Interpol bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian.
Tambahnya, kerajaan pada masa sama sentiasa memandangkan serius kes penipuan dalam talian yang semakin kerap dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.
Justeru, Ismail mengingatkan semua pihak untuk lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya apabila mendapat panggilan atau tawaran daripada pihak yang tidak dikenali.