AUG 2022: Skuad bola sepak masih belum pamer aksi sebenar

Iklan
Aksi skuad bola sepak Malaysia ketika menentang Myanmar pada perlawanan pembukaan di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Stadium Universiti Ubon Ratchathani pada Rabu.

PENGENDALI skuad bola sepak negara, Ridzuan Abu Shah mengakui pasukan negara masih belum menunjukkan taring yang sebenar meskipun meraih kemenangan 2-1 ketika menentang Myanmar pada aksi pembukaan temasya Sukan Universiti ASEAN 2022 pada Rabu.

Menurutnya, rata-rata pemain yang diturunkan ketika aksi tersebut masih gugup memandangkan ia merupakan perlawanan pertama antarabangsa buat mereka selain terpaksa beraksi dalam cuaca panas terik pada sebelah tengah hari.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau masih memuji aksi yang dipamerkan anak buahnya dan berharap mereka dapat memberikan persembahan yang terbaik pada perlawanan seterusnya dalam misi layak ke perlawanan akhir bagi acara bola sepak di temasya itu.

"Saya berpuas hati dengan persembahan mereka pada pada aksi pertama ini. Bagaimanapun ada sesetengah pemain dilihat sikit gugup kerana ia merupakan pengalaman pertama mereka beraksi di pentas antarabangsa.

Iklan

"Tapi dalam pasukan ini juga, kita ada beberapa pemain yang sudah berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa. Mungkin kita akan minta mereka bantu pemain-pemain baharu ini.

"Jadi saya harap mereka akan mempamerkan aksi yang lebih baik lagi-lagi kita akan berjumpa Thailand selepas ini. Sebab perlawanan ini boleh dikatakan penting untuk mencerahkan peluang mara ke perlawanan akhir,” jelasnya.

Iklan

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Ubon Ratchathani, Thailand, pasukan Myanmar terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi pemain gantian, Hlaing Swe Oo.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Ridzuan kembali memperkemaskan corak permainan namun gagal menghasilkan sebarang gol pada separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Ridzuan melakukan pertukaran dengan memasukkan Mohd Alief Najmi Mohd Radzi menggantikan Wan Syamil Sulaiman Wan Salman bagi memperkuatkan lagi barisan serangan negara.

Percaturan itu nyata membuahkan hasil apabila, Mohd Alief berjaya menyumbat gol buat pasukan negara sekali gus berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-50.

Seterusnya, Muhammad Zulkarnain Mohd Nasir menjadi wira buat pasukan negara apabila menyumbat gol kemenangan Malaysia pada minit ke-84 dan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat masa permainan.

Aksi kedua menyaksikan Malaysia akan bertemu Thailand pada 31 Julai ini sebelum menamatkan aksi 'round-robin' menentang Laos pada 2 Ogos depan.