Semangat baharu pacu kekuatan Manchester City

Iklan
Stones - Foto AFP

BIARPUN kehilangan beberapa nama besar, penyandang juara Manchester City berkeupayaan mengekalkan status pendominasi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kehadiran Erling Haaland dan Kalvin Phillips.

Malah menurut tonggak pertahanan The Citizens, John Stones, pembelian Haaland dan Phillips secara tidak langsung mengembalikan daya saing skuad kendalian Pep Guardiola tersebut.

Iklan
Iklan

"Sejujurnya saya percaya pasukan terkesan dengan pemergian nama besar yang pernah membantu kelab ini meraih kejuaraan dalam beberapa musim sebelum ini.

"Biarpun begitu kami perlu memandang ke hadapan dan yakin bagi menghadapi cabaran baharu, musim baharu tanpa kudrat beberapa pemain tonggak yang telah meninggalkan pasukan," katanya.

Iklan

Skuad Guardiola sebelum ini kehilangan beberapa tonggak penting seperti Gabriel Jesus, Raheem Sterling, Oleksandr Zinchenko dan Fernandinho yang mengambil keputusan mencari pengalaman baharu.

Untuk rekod, Jesus, Sterling, Zinchenko dan Fernandinho merupakan antara pemain penting yang menjadi pencetus kepada kebangkitan The Citizens dalam beberapa musim lalu.

Iklan

Pada masa sama, bekas pemain Everton, 28, itu juga mengakui terkilan dengan pemergian nama besar yang pernah mencipta kejayaan untuk kelab tersebut.

"Sungguh menyedihkan apabila melihat beberapa pemain pergi meninggalkan kelab ini sama ada bersara atau mahukan cabaran baharu.

"Tetapi itulah realiti bola sepak, sentiasa ada pemain yang keluar dan ada pemain baharu yang masuk.

"Namun pengakhirannya apabila berada di sini cuma satu iaitu sentiasa berusaha menjadikan kelab ini sebuah pasukan terbaik,” ujar tonggak England tersebut.