Terengganu batal pembelian Amphicoach

Iklan
Pembelian bas amfibia sebelum ini bertujuan memberi kemudahan membawa pelancong ke tempat menarik menyusuri Sungai Terengganu serta bagi tujuan pemindahan penduduk terjejas banjir pada musim tengkujuh. (Gambar kecil:Ariffin Deraman)

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan membatalkan pembelian bas dua alam, Amphicoach atas faktor kelewatan projek dan isu keselamatan berikutan keadaan bas tersebut tidak menepati spesifikasi dan skop kontrak yang telah ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata, keputusan itu disyorkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan mengambil kira pandangan dari Jabatan Laut dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Iklan
Iklan

Sehubungan itu menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk menyelesaikan isu bas amfibia terutama membabitkan pembayaran dan pemulangan wang selepas kontraktor gagal memenuhi skop kontrak.

"Faktor utama (penolakan projek) adalah isu keselamatan. Bas ini ada masalah ‘overheating’ ketika beroperasi di darat dan air. Dengan kelajuan tertentu, ia akan ‘overheating’.

Iklan

"Saya lihat JPJ juga sukar bertolak ansur dengan syarat-syarat ditetapkan dan dari pihak Jabatan Laut.

"Oleh kerana tiada penyelesaian maka kerajaan mengambil sikap tidak menerima bas ini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media di luar Persidangan DUN di Wisma Darul Iman, hari ini.

Iklan

Terdahulu ketika persidangan, Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh) mengutarakan soalan mengenai sejauh mana perancangan kerajaan negeri memanfaatkan bas Amphicoach dalam industri pelancongan Terengganu.

Ariffin berkata, tempoh kontrak yang diberikan kepada kontraktor iaitu daripada 1 Januari 2015 sehingga 30 Ogos 2015 sudah lama berakhir.

"Sehingga kini, kita sudah mengeluarkan Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) yang keenam pada 5 Oktober 2017 kepada kontraktor dan kita tidak akan mengeluarkan EOT baharu,” katanya.

Menurut beliau, kos keseluruhan kontrak pembelian bas dua alam itu bernilai lebih RM3 juta dan setakat ini kerajaan sudah menjelaskan RM2.7 juta kepada kontraktor dengan baki kontrak sebanyak RM336,350.

Walaupun bayaran masih berbaki, kerajaan tidak perlu membuat bayaran kerana Gantirugi Tetap (LAD) yang dikenakan kepada pihak kontraktor adalah sebanyak RM596,563 ekoran kelewatan selama 542 hari dengan nilaian RM1,100 sehari.

Pembelian bas amfibia yang diilhamkan Menteri Besar sebelumnya, Datuk Seri Ahmad Said bertujuan memberi kemudahan membawa pelancong ke tempat menarik menyusuri Sungai Terengganu serta bagi tujuan pemindahan penduduk terjejas banjir pada musim tengkujuh.