KUANTAN - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang menerima 341 aduan membabitkan salah laku di media baharu setakat Jun tahun ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, aduan yang diterima membabitkan penipuan, ugutan dan sebagainya yang dilakukan oleh individu melalui media sosial, e-mel serta laman web.
Menurutnya, angka itu tidak begitu tinggi jika dibandingkan pada tahun lalu sekitar 879 aduan.
"Perkara ini telah saya maklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Beliau minta agar satu perbincangan dapat diadakan di antara pihak PDRM, SKMM dan wakil-wakil dari kerajaan Pahang bagi membincangkan solusi berkenaan isu ini serta menetapkan satu mekanisme atau langkah yang tepat untuk dibuat aduan.
"Beliau (Wan Rosdy) juga meminta agar maklumat hasil perbincangan itu nanti disampaikan kepada rakyat Pahang terutama mereka yang terkesan penipuan dalam talian ini mengetahui langkah tepat untuk membuat aduan.
"Ini jelas membuktikan kerajaan Pahang amat mengambil berat dan serius menangani salah laku yang berlaku di media baharu dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Open Source Intelligence (OSINT) anjuran SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Swissbell Hotel di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut program OSINT, Mohammad Fakhruddin menjelaskan kerajaan Pahang menyambut baik dan menyokong program itu dalam meningkatkan kepakaran serta perkhidmatan agensi masing-masing.
"Saya dimaklumkan program OSINT ini mempunyai matlamat utama iaitu perkongsian maklumat oleh SKMM kepada pasukan polis tentang isu dan cabaran media baharu.
"Program ini dapat memberi kefahaman, meningkatkan kecekapan dan kepakaran pasukan polis dalam mengumpul serta merangkaikan maklumat melalui sumber terbuka atau open source dalam aktiviti siasatan,” katanya.
Beliau menambah, dalam masa yang sama, program OSINT dapat memberi pendedahan dan pemahaman kepada proses serta prosedur digital forensik dijalankan.
"Dengan kepakaran ini saya yakin, tindakan penyiasatan dan penguatkuasaan dapat dijalankan dalam tempoh yang lebih cepat dan berkesan.
"Bertepatan dengan masa pada hari ini, semakin banyak isu sensitif dimainkan di internet. Peningkatan kepada kecekapan dan kepakaran pasukan polis adalah sangat penting dan kritikal,” katanya.