LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melalui anak syarikatnya, Grand Borneo Hotel Sdn Bhd (GBHSB) menerima tawaran daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk menguruskan resort-resort milik mereka.
Perkembangan tersebut sekali gus meluaskan lagi pegangan Felda dalam industri perhotelan di negara ini.
Felda dalam satu kenyataan berkata, melalui tawaran yang diterima daripada TM itu, Grand Borneo Hotel bakal menguruskan tambahan lima resort baharu yang dijangka akan mula beroperasi pada Oktober 2022.
Resort-resort tersebut terletak di Tanjung Bungah, Pulau Pinang; Cameron Higlands, Pahang; Fraser’s Hill, Pahang dan Kundasang, Sabah yang akan diuruskan itu bakal merancakkan lagi industri pelancongan tempatan.
"Dengan tambahan resort yang diuruskan, Grand Borneo Hotel akan tampil dengan lebih banyak pilihan menarik buat bakal pengunjung dengan konsep yang berbeza mengikut kepada lokasi dan fasiliti yang disediakan.
"Resort-resort tersebut akan dijenamakan semula sesuai dengan prestij yang dibawa nama Felda dan TM secara amnya," katanya menerusi kenyataan tersebut pada Khamis.
Menurutnya, tawaran yang diterima ini mampu melonjakkan kedudukan Grand Borneo Hotel sekali gus merealisasikan aspirasi dan visi untuk menjadi sebagai peneraju industri perhotelan secara profesional.
Jelas kenyataan itu, kerjasama itu juga dapat mengukuhkan hubungan antara Felda dan TM seterusnya mengorak langkah bagi sinergi yang memberi keuntungan untuk kedua-dua pihak.