KPDNHEP turut bantu tangani kos sara hidup rakyat

Iklan

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata Bahagian Penguatkuasaannya turut menyumbang kepada inisiatif menangani kos sara hidup rakyat melalui penguatkuasaan anti pencatutan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, ia bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengambil untung secara tidak munasabah dalam aktiviti perniagaan.

Iklan
Iklan

"Dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi pengguna, kementerian sentiasa berusaha memastikan pengguna tidak ditindas oleh sesetengah peniaga tidak bertanggungjawab cuba untuk mengaut keuntungan secara tidak munasabah (mencatut).

"Melalui pemeriksaan dan pemantauan dijalankan secara proaktif mahupun melalui aduan, premis-premis yang diperiksa atau dilaporkan mengenakan harga dan caj tinggi akan diberikan notis dan disiasat untuk menentukan kewujudan unsur pencatutan atau tidak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Menurutnya, pada 2018, sebanyak 1,050 notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 telah dikeluarkan terhadap peniaga yang disyaki mencatut kerana telah menaikkan harga atau mengenakan harga tinggi.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 46 kertas siasatan telah dibuka kerana kesalahan pencatutan," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, kementerian itu bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia telah menjalankan operasi bersepadu ke atas rantaian pembekalan dan pengedaran industri perikanan di Malaysia yang dinamakan sebagai Ops Jaring.

"Operasi Jaring dilaksanakan di seluruh negara pada 15 Januari 2018 sehingga 31 Mac 2018 di empat peringkat perniagaan iaitu peruncit di pasar basah awam (PPBA), pemborong di pasar borong (PPB), pemborong dalam kompleks (PDK) dan pemborong jeti pendaratan (PJP) dengan melibatkan pemeriksaan bagi ikan kembung, ikan aya atau tongkol hitam, ikan kerisi, ikan selar, ikan selayang atau sardin, ikan siakap, udang putih dan sotong biasa.

"Sebanyak 251 pemeriksaan telah dijalankan di peringkat PPBA dan PPB yang dikategorikan sebagai pasar harga tertinggi oleh LKIM dan Majlis Harga Barang Negara (MHBN) untuk mendapatkan maklumat berhubung pembekalan serta penjualan ikan dan hasil tangkapan laut," katanya.

Katanya lagi, penguatkuasaan dan pemeriksaan turut dilakukan di premis-premis yang menjadi tumpuan rakyat iaitu perniagaan makanan seperti medan selera, pasar basah, gerai makan, pasar tani, pasar mini, pasar raya dan bazar ramadhan yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Mekanisme mengenai pelaksanaan peraturan kawalan harga dan anti pencatutan ini akan diperkukuh dari semasa ke semasa agar dapat meningkatkan tahap pematuhan dan kesedaran peniaga kepada peraturan sekali gus menetapkan harga barangan secara lebih berpatutan," katanya.

Tambahnya, dalam soal inisiatif menangani kos sara hidup rakyat, Bahagian Penguatkuasaan kementerian itu meneruskan tradisi menguatkuasakan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) di mana barang-barang keperluan asas seperti ayam, telur ayam, bawang, kentang, cili, tomato dan ikan kembong akan dikawal harganya.

"Ia bagi memastikan harga barang tersebut berada pada tahap terkawal dan mampu beli rakyat. Impaknya sepanjang tempoh empat kali SKHMP yang dilaksanakan pada tahun 2018 iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa, Krismas dan Deepavali rakyat mudah mendapat barang keperluan tersebut dengan harga yang berpatutan sepertimana ditetapkan kerajaan.

"Untuk rekod sebanyak 84,619 pemeriksaan dilakukan dengan 411 tindakan kes atas pelbagai kesalahan dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM38,862 serta kompaun sejumlah kira-kira RM57,650," katanya.