Speedy Jantan belum kibar bendera putih

Iklan
Khairul Hafiz (tengah) juga pemenang emas Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2016 belum mahu menyerah kalah.

ADAKAH nama Khairul Hafiz Jantan, pelari terpantas negara dan bekas jaguh pecut Asia Tenggara masih diingati peminat olahraga tempatan mahupun dalam kalangan pelari pecut di rantau ini?

Selepas merangkul pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di sini, pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) berusia 24 tahun itu bergelut meneruskan kecemerlangan beliau susulan dihimpit beberapa isu kecederaan, selain krisis pertukaran jurulatih yang turut membantutkan perkembangan prestasinya.

Iklan
Iklan

Pelbagai masalah dihadapinya menyaksikan hasrat Khairul Hafiz yang mendapat julukan 'The Speedy Jantan' untuk mempertahankan emas di Sukan SEA Filipina 2019 tidak kesampaian sebelum beliau turut gagal melepasi had kelayakan untuk beraksi di Sukan SEA Hanoi 2021, Vietnam pada Mei.

Berdasarkan statistik, selepas mencipta rekod 100m kebangsaan dengan catatan masa 10.18 saat (s) pada 2016, graf prestasi Khairul Hafiz semakin menurun apabila merekodkan catatan peribadi terbaik musim 2017 10.24s diikuti pada 2018 (10.28s), 2019 (10.50s) dan 2022 10.56s.

Iklan

Namun, pemenang emas Kejohanan Olahraga Remaja Asia 2016 itu belum mahu menyerah kalah dengan beliau kini berada di landasan tepat untuk kembali ke tahap terbaik menjelang penampilannya dalam acara 100m di temasya Sukan Perpaduan Islam di Konya, Turkiye dari 9 hingga 18 Ogos ini.

Beliau berkata, prestasinya dirasakan mula menunjukkan peningkatan sejak kembali berlatih di bawah kendalian jurulatih pecut tempatan Mohd Poad Md Kassim bermula April tahun lepas.

Iklan

"Selepas menjalani latihan penuh bersama coach Poad, alhamdulillah masa (larian), teknik saya semakin baik kerana dia tahu cara hendak betulkan semula larian saya," katanya yang menyasarkan masa antara 10.3s dan 10.4s di Konya ketika ditemui baru-baru ini.

Atlet kelahiran Melaka itu turut menyasarkan untuk melayakkan diri beraksi di Sukan SEA 2023 di Kemboja dan optimis mampu kembali mencapai prestasi terbaik seterusnya mencipta kejutan pada masa hadapan.

"Insya-ALLAH tidak mustahil perkara (kembali ke kemuncak prestasi) itu berlaku sebab kita tahu semua itu rezeki dan saya sudah cuba yang terbaik dengan apa yang diajar coach, saya pun dah buat masa yang diminta coach dan saya tidak terlepas satu pun sesi latihan," katanya.

Pada temasya di Konya, Khairul Hafiz juga akan beraksi dalam acara 4x100m bersama pemenang emas 100m Sukan SEA Filipina 2019 Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Arsyad Md Saat dan Jonathan Nyepa.

Muhammad Haiqal akan menyertai Khairul Hafiz dalam acara 100m sementara Muhammad Arsyad dan Jonathan masing-masing mengambil bahagian dalam 200m. - Bernama