IVPA jangka import minyak sawit dari Malaysia kekal stabil

Iklan
Gambar hiasan.

PERSATUAN Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA) menjangkakan import minyak sawit dari Malaysia akan kekal stabil di negara itu bagi tempoh separuh kedua 2022.

Jumlah itu meliputi 55 peratus daripada keseluruhan import minyak sawit India walaupun dalam persekitaran Indonesia bertindak meningkatkan eksport komoditi tersebut.

Iklan
Iklan

Presiden IVPA, Sudhakar Desai berkata, ini sejajar dengan pertambahan permintaan di India yang dijangka mencecah kira-kira 800,000 tan sebulan bagi tempoh enam bulan akan datang atau peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding dalam separuh pertama 2022.

"Pada masa ini, import minyak sawit India adalah kira-kira lapan juta tan dan kami menjangkakan bahagian pasaran Malaysia bagi import ini akan kekal dalam sekitar 55 peratus,” katanya kepada Bernama di luar Ekspo & Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 di sini, pada Khamis.

Iklan

Desai dalam pada itu menyifatkan Malaysia berjaya mengekalkan dasar yang stabil serta membantu menampung permintaan India ketika Indonesia melaksanakan larangan eksport minyak sawit.

"Rantaian bekalan itu dapat dikekalkan dengan amat baik dan Malaysia juga berperanan penting dari segi jaminan minyak sayuran untuk memenuhi permintaan India sejak dua bulan lepas,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata satu memorandum persefahaman (MoU) antara IVPA dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) turut dimeterai di MIACES 2022 dalam usaha memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan India dalam industri berkaitan.

"MoU itu bertujuan mewujudkan kerjasama dalam mempromosikan industri minyak sawit India selain saling bertukar maklumat berkaitan usaha-usaha kemampanan serta penyelidikan dan pembangunan dalam bidang minyak sawit,” katanya.

Menurutnya, IVPA dan MPOC akan turut mengemukakan isu-isu berkaitan dasar yang dinamik dengan penggubal dasar terbabit bagi manfaat industri di kedua-dua negara.

Sebelum ini, Indonesia yang juga pengeluar terbesar minyak sawit dunia telah mengenakan larangan eksport produk-produk minyak sawit mulai 28 April, 2022 bagi memenuhi keperluan domestik susulan kenaikan harga komoditi itu.

Bagaimanapun, harga minyak sawit mulai merosot ketara selepas Indonesia menarik balik larangan selama tiga minggu itu pada 23 Mei lepas dan disusuli dengan pengecualian levi eksport bagi semua produk berkaitan mulai 15 Julai hingga 31 Ogos.

Perkembangan terbaharu pada 4 Jun lepas juga menyaksikan Indonesia mengeluarkan permit eksport bagi sejumlah 275,454 tan produk minyak sawit sejak langkah itu dilaksanakan semula pada Mei. - Bernama