Pemandu Kancil misteri ditahan polis

Iklan
Kereta kancil misteri ditunda ke bengkel selepas mengalami kerosakan.

BUKIT MERTAJAM - Cukai jalan tamat tempoh selain lesen 'mati' sejak 2014, itu antara kesalahan dikesan terhadap pemandu Perodua Kancil misteri yang tular di laman sosial sejak beberapa minggu lalu.

Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan polis selepas dilihat memandu dalam keadaan melawan arus di Jalan Baru Perai di sini kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kereta berkenaan juga tidak mempunyai nombor pendaftaran pada bahagian depan dan belakang kenderaan.

"Ketika ditahan lelaki berkenaan memberitahu mahu ke bengkel rakannya yang terletak berhampiran pusat membeli-belah Pacific di sini.

Iklan

"Dia kemudiannya mendapatkan khidmat lori penunda untuk membawa kereta ke bengkel terbabit dengan diiringi kenderaan polis," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, semakan yang dibuat terhadap lelaki berasal dari Raub, Pahang itu mendapati dia bersih daripada sebarang rekod jenayah mahupun penyalahgunaan dadah.

Iklan

Katanya, saman dikeluarkan terhadap lelaki terbabit dan polis memberi amaran kepadanya agar tidak memandu melulu serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

Sebelum ini, gelagat lelaki misteri terbabit yang dilihat tidak terurus tular di laman sosial kerana dikesan memandu sebuah Perodua Kancil lusuh di beberapa kawasan sekitar Seberang Perai Tengah dan Selatan.