11 ahli Parlimen tak hadir Dewan Rakyat jadi bualan warga net

Iklan

SHAH ALAM - Disebalik keputusan Dewan Rakyat yang sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, ketidakhadiran 11 ahli Parlimen untuk mengundi di Dewan Rakyat menjadi perbualan warga net di laman sosial.

Pengguna akaun Twitter, @KartunisGandum menerusi ciapannya turut menyenaraikan faktor ketidakhadiran beberapa ahli Parlimen.

Antaranya Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) yang kini berada di Dublin, Ireland, kerana lawatan kerja; Datuk Seri M Saravanan (Tapah) di Indonesia, Wong Tack (Bentong) dan Teh Kok Lim (Taiping) yang menjalani kuarantin akibat Covid-19.

Turut disenaraikan ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan berada di Birmingham, United Kingdom bagi menghadiri Sukan Komenwel 2022 dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Tumpat) di Mekah, Arab Saudi.

"209 (ahli Parlimen) sokong, 11 tak hadir. RUU Anti Lompat Parti. Tahniah,” ciapnya pada Khamis.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dari mana pengguna Twitter tersebut mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, lima lagi ahli Parlimen yang disenaraikan tidak dinyatakan faktor tidak hadir iaitu Mordi Bimol (Mas Gading), Datuk Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah), Tan Sri Abdul Hadi Awang (Marang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Menerusi ciapannya juga, pemilik akaun tersebut turut memuat naik karikatur menyerupai seorang ahli Parlimen sedang tidur di atas kerusi sambil tangannya memegang akhbar dengan tajuk muka depan mengenai RUU Anti Lompat Parti.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga, pada Khamis.

Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.45 petang itu menyaksikan seramai 209 bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas selesai kiraan dibuat pada jam 5.12 petang.

Iklan
Iklan