SKUAD sepak takraw negara menampilkan aksi cemerlang apabila menewaskan Indonesia 3-0 dalam saingan Kumpulan B Divisyen Premier acara beregu berpasukan lelaki di Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok pada Khamis.
Regu pertama negara dibarisi Zulkifli Razak, Norhaffizi Razak dan Amirul Zazwan Amir bermula dengan langkah kanan apabila mengutip mata pertama setelah membenam Muhammad Reza, Muhammad Hardiansyah Muliang dan Rusdi 21-14, 21-16.
Rentak cemerlang pasukan negara diteruskan Ahmad Aizat Nor Azmi, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi selepas menewaskan Abdul Halim R, Jelki Ladada dan Hendra Pago 24-22, 21-12 untuk mata kedua.
Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohd Hafizul Hayazi Adnan dan Farhan Adam mengesahkan kemenangan skuad negara selepas menewaskan Ariska Meza, Rezanop K dan M. Hafis 21-13, 21-13.
Jurulatih kebangsaan Mohd Rashidi Nordin mengakui skuad regu negara perlu memperbaiki banyak perkara terutama dari segi servis sebelum menentang pasukan Korea Selatan pada Sabtu.
"Ketiga-tiga regu ini telah mempamerkan pertahanan memuaskan namun mereka perlu tingkatkan servis.
"Pasukan Korea Selatan dijangka membariskan pemain sama. Maka, kita akan membuat persiapan dan mengatur strategi untuk memastikan skuad negara mencatat kemenangan," katanya.
Mohd Rashidi berkata, kemenangan ke atas pasukan Korea Selatan penting untuk memastikan Malaysia dapat mengelak berdepan Thailand yang dijangka muncul juara Kumpulan A.
Sementara itu, kem wanita negara turut mencatat kemenangan selepas Siti Norzubaidah Che Ab Wahab dan Nur Fatihah Sharudin menewaskan pasangan Nepal 21-6, 21-11 dalam acara beregu.
Pada pertemuan dengan Iran hari ini, skuad wanita negara Siti Norzubaidah bergandingan dengan Kamisah Khamis menewaskan Iran 21-8 dan 21-9 untuk muncul naib juara Kumpulan B.
Anak didik Ahmad Mohd Zin dijadual berdepan juara Kumpulan A, Indonesia dalam peringkat akhir esok. - Bernama