Siti Zalina, Emma Firyana berada di prestasi terbaik

Iklan
Zuraidi yakin Siti Zalina dan Emma Firyana mampu menghasilkan keputusan positif di Birmingham 2022.

PEMAIN boling padang negara, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji berada di prestasi terbaik untuk mempertahankan pingat emas edisi Gold Coast 2018 yang dimenangi lima tahun lalu.

Itu keyakinan ketua jurulatih skuad boling padang negara, Zuraidi Puteh ketika ditanya mengenai persediaan dua atlet tersebut apabila kem boling padang negara akan memulakan cabaran di Victoria Park, Leamington Spa pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Siti Zalina dan Emma Firyana Saroji begitu teruja untuk mempertahankan pingat emas dimenangi di Gold Coast 2018 lalu.

"Ini berdasarkan persembahan dipamerkan mereka berdua dalam beberapa perlawanan persahabatan sepanjang berada di Birmingham.

Iklan

"Kesungguhan mereka berdua juga jelas sepanjang menjalani sesi latihan, jadi coach percaya mereka berupaya menghasilkan keputusan positif,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada masa sama, Zuraidi menjangkakan gandingan tersebut bakal berdepan cabaran peserta dari Afrika Selatan, Australia dan England.

Iklan

Kem boling padang negara termasuk acara membabitkan Siti Zalina dan Emma Firyana akan turun memulakan cabaran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, pada Jumaat.

Untuk rekod, skuad boling padang negara meraih emas acara pairs wanita selepas menewaskan Afrika Selatan 15-14 di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Dalam perlawanan akhir itu, Siti Zalina yang bergandingan dengan Emma Firyana menewaskan Nicolene Neal dan Colleen Piketh di Broadbeach Bowls Club.