JIKA diperhatikan di sekeliling kita ketika ini, begitu ramai yang sakit terutama mengalami demam dan batuk.
Bak kata seorang doktor yang ditemui, kanak-kanak merupakan golongan yang paling ramai terkesan. Mereka biasanya demam dengan suhu yang tinggi iaitu mencecah 38 hingga 39 darjah Celsius.
Justeru pesannya, jangan tunggu lama-lama jika anak kita mempunyai tanda-tanda kurang sihat seperti panas badan dan batuk. Segera dapatkan rawatan dengan bertemu doktor kerana mungkin itu juga adalah simptom influenza A.
Bagi yang mampu, mempunyai insurans kesihatan dan tidak mahu beratur panjang, mereka boleh mendapatkan rawatan di klinik swasta.
Namun, bagi yang ingin berjimat cermat terutama semasa harga barang melambung sekarang, mereka boleh sahaja ke hospital atau ke klinik kerajaan, cuma masa menunggu mungkin lebih lama sedikit.
Justeru apabila Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan waktu operasi bagi beberapa klinik kesihatan (KK) di Lembah Klang dilanjutkan sehingga jam 9 dan 10 malam setiap hari bertujuan mengatasi masalah kesesakan di hospital, ia merupakan langkah yang amat wajar dan sangat perlu lebih-lebih lagi pada musim wabak sekarang.
Tambah Noor Azmi, inisiatif itu juga mahu mengurangkan kehadiran pesakit di Jabatan Kecemasan membabitkan mereka yang tidak berdepan situasi memerlukan rawatan segera.
Betul, selain mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan, dengan melanjutkan waktu operasi itu juga penjaga pesakit sendiri dapat menguruskan masa untuk hadir ke klinik mengikut waktu yang sesuai sama ada pagi, petang atau malam.
Paling penting, jika mengalami keadaan luar jangka seperti demam panas secara tiba-tiba, kemalangan dan sebagainya, mereka mampu segera ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan awal.
Kita berharap lanjutan waktu operasi ini dapat diperluas ke setiap negeri dengan kadar segera khususnya di kawasan padat penduduk dan menjadi tumpuan utama.
Pada masa yang sama kita wajar mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kementerian Kesihatan Malaysia dan semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus berkhidmat menangani bermacam-macam jenis penyakit kini.