Maut yang boleh dielak

Iklan
Tabiat menghisap vape dikatakan boleh merosakkan organ paru-paru

BARU-BARU ini tular sebuah video di laman sosial yang menunjukkan ramai pesakit dipercayai dalam kalangan umur 20-an yang paru-parunya ditebuk akibat menghisap pod ataupun lebih popular dipanggil sebagai vape.

Keadaan itu membuatkan banyak perdebatan dalam kalangan orang ramai. Menerusi satu ciapan, seorang pengguna Twitter, @Aleesya mengingatkan netizen supaya jangan menghisap pod tidak kira apa jua jenis alatan yang ada di pasaran.

Iklan
Iklan

Dia mendakwa tabiat itu akan merosakkan organ paru-paru dan kebanyakan paru-paru pesakit terpaksa ditebuk untuk mengeluarkan cecair.

"Jangan hisap pod pakai buang. Pod ini sangat bahaya kepada paru-paru kita. Ramai remaja telah mengalami paru-paru rosak. Ramai antara mereka perlu ditebuk lubang pada paru-paru untuk keluarkan cecair,” ujarnya.

Iklan

Seorang doktor perubatan bernama @HausofHilton di Twitter turut memberikan pandangan bahawa kajian menunjukkan pengguna vape mempunyai risiko untuk mengalami masalah pneumotoraks sama seperti perokok.

Pneumotoraks adalah pengumpulan udara atau gas di bahagian rongga di antara paru-paru dan dinding dada disebabkan terdapatnya kebocoran di antara rangka dada.

Iklan

Bagi membendung keadaan ini daripada menjadi semakin teruk dan tidak terkawal, kerajaan dijangka membentangkan akta untuk mengharamkan rokok, vape dan semua alat merokok kepada golongan yang lahir selepas tahun 2007.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi laman Twitternya baru-baru ini berkata, kos yang ditanggung negara untuk merawat penyakit akibat merokok adalah lebih tinggi daripada jumlah kutipan cukai sumbangan produk tembakau.

Tambahnya, kos rawatan itu dijangka meningkat sehingga RM8.8 bilion menjelang tahun 2030.

"Ramai mungkin tidak tahu kos yang ditanggung kerajaan ini adalah lebih tinggi daripada jumlah kutipan cukai produk tembakau,” katanya.

Menurutnya, kos rawatan bagi seorang pesakit vape untuk 12 hari kemasukan hospital adalah RM150,000.

"Ia sangat mahal untuk merawat pesakit ini,” katanya menerusi hantaran di laman TikToknya, Rabu lalu.

RUU baharu

Dengan adanya Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok, kerajaan yakin industri rokok elektronik dapat dikawal selia.

Kerajaan juga boleh memastikan cecair vape yang dijual dikawal dengan baik dan lulus ujian makmal, jadi insiden pengguna jatuh sakit dapat diminimumkan.

Khabarnya pengusaha rokok elektronik juga telah menyatakan sokongan terhadap akta ini.

Dengan menyasarkan generasi remaja, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bukan sahaja mampu mengurangkan kos rawatan akibat komplikasi rokok, bahkan paling penting dapat menyelamatkan nyawa dua juta rakyat Malaysia seperti yang dinyatakan Khairy.

Hakikatnya, merokok bukan sahaja membunuh bahkan memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menggesa orang ramai memberi sokongan terhadap undang-undang baharu berkenaan.

"Berilah sokongan penuh kepada usaha KKM dalam melaksanakan akta untuk mengharamkan rokok, rokok elektronik (vape) dan semua alat merokok kepada generasi yang lahir selepas 2007.

"Marilah kita bersama mewujudkan generasi yang bebas daripada sebarang amalan merokok termasuk vape,” ciapnya di Twitter pada Khamis.

Dalam hal ini, kita boleh ambil contoh dari negara Bhutan yang merupakan satu-satunya negara di dunia melarang proses penjualan dan produksi tembakau serta produk-produknya.

Bhutan memiliki aturan ketat yang termaktub dalam undang-undang negara tersebut yang menyatakan bahawa setiap individu atau kelompok di Bhutan yang ditemui menjual tembakau, maka individu atau kelompok tersebut boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.

Justeru, kita berharap RUU yang akan dibentangkan di Parlimen dapat diluluskan. Apatah lagi RUU ini diyakini mampu mengurangkan jumlah perokok, mengawal ketagihan dan menyelamatkan banyak nyawa. Usaha ini adalah untuk kebaikan generasi Malaysia pada masa hadapan.

* Penulis ialah Pencipta Kandungan Sinar Harian