JUARA dunia empat kali, Sebastian Vettel mengejutkan dunia perlumbaan Formula 1 (F1) apabila mengumumkan hasrat untuk bersara daripada sukan berkenaan pada penghujung musim ini.
Menurut pemandu kelahiran Jerman berusia 35 tahun itu, dia membuat pengumuman berkenaan kerana merasakan sudah tiba masanya untuk melibatkan diri dengan aktiviti lain selain hanya memberi fokus kepada perlumbaan F1.
Malah pemandu pasukan Aston Martin itu yang kini berada pada kedudukan ke-14 dalam siri kejuaraan dunia itu berkata, mahu lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga.
"Keputusan untuk bersara ini sebenarnya amat sukar dan saya mengambil masa yang agak lama sebelum memuktamadkannya.
"Saya masih sukakan perlumbaan ini tetapi buat masa ini ia (F1) jelas tidak selari dengan kemahuan yang mahu melebihkan masa bersama keluarga dan juga membuat aktiviti lain.
Sudah tiba masanya untuk saya berada di luar F1.
"Kebanyakan masa saya sudah pun ‘dihabiskan’ dengan perlumbaan ini sehingga menganggu komitmen sebagai seorang suami dan bapa,” katanya.
Untuk rekod, selain Aston Martin, Vettel juga pernah beraksi dengan pasukan BMW Sauber, Toro Rosso, Red Bull dan Ferrari sebelum ini.
Bagaimanapun, Vettel mencatatkan musim cemerlang ketika beraksi dengan pasukan Red Bull apabila muncul juara dunia selama empat musim berturut-turut mulai 2010 hingga 2013 lalu.
Sementara itu pemilik Aston Martin, Lawrence Stroll menegaskan telah memujuk Vettel untuk terus bersama pasukan berkenaan musim depan.
Bagaimanapun, pihaknya menghormati keputusan Vettel dan mendoakan agar pelumba berkenaan berjaya mencapai cita-citanya setelah banyak berjasa kepada pasukan dan juga sukan F1 itu sendiri secara keseluruhannya.
"Kami telah cuba memujuknya, tetapi akhirnya sedar dia (Vettle) telah pun membuat keputusan terbaik buat dirinya sendiri serta keluarga.
"Kami sedar bahawa kami perlu menghormati keputusannya itu,” katanya.